NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran kemenangan Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal boleh melemahkan demokrasi negara ini sementara bekas Presiden, Donald Trump memberi bayangan mahu menawan semula White House menjelang pengundia esok.
Komen yang dibuat pada perhimpunan di New York dan Florida itu menyerlahkan prospek suram yang dihadapi Biden walaupun sudah memenuhi janjinya untuk meningkatkan insentif tenaga bersih dan membina semula jalan serta jambatan yang runtuh.
Republikan mencabar Biden kerana inflasi yang tinggi dan peningkatan jenayah berikutan pandemik Covid-19 dengan ramai peramal berpihak kepada mereka untuk memenangi kawalan Dewan Perwakilan dan juga Dewan Senat.
Namun kawalan walaupun dalam satu Dewan akan membolehkan Republikan menghalang agenda perundangan Demokrat dan melancarkan siasatan yang berpotensi menggugat Biden.
Biden memberi amaran ramai calon Republikan mengancam norma demokrasi dengan mengulangi dakwaan palsu Trump mengenai pilihan raya yang tidak telus pada tahun 2020.
“Demokrasi secara tidak langsung berada dalam undian. Anda bukan sahaja hanya boleh mencintai negara apabila anda menang,” kata Biden ketika berucap kepada pelajar di Kolej Sarah Lawrence, di utara New York.
Sementara itu, dalam perhimpunan di Miami, Trump mengitar semula banyak aduannya mengenai pilihan raya pada 2020 dan membayangkan bahawa beliau mungkin akan mengumumkan satu lagi cubaan merebut jawatan Presiden tidak lama lagi.
“Saya mungkin perlu melakukannya sekali lagi, tetapi nantikannya,” katanya sambil mengkritik pentadbiran Biden berkenaan jenayah, kekerasan dan isu lapangan terbang kotor.
Penasihat Trump berkata, pengumuman mengenai penyertaan Trump untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden 2024 akan dibuat bulan ini.
Selain amaran Biden tentang demokrasi, ramai ahli Demokrat memilih untuk berusaha menekankan perkara yang lebih praktikal seperti usaha keras mereka menurunkan harga ubat preskripsi dan mempertahankan Keselamatan Sosial.
Walaupun ramai yang berkempen dan menyuarakan mengenai hak pengguguran bayi yang diutarakan Republikan, tinjauan pendapat menunjukkan isu itu semakin pudar dan bukan lagi menjadi kebimbangan utama pengundi.
Republikan dilihat lebih mempersoalkan sokongan Demokrat terhadap penguatkuasaan undang-undang dan memanfaatkan kebimbangan mengenai jenayah, yang muncul sebagai isu pilihan raya utama selepas kadar pembunuhan meningkat semasa wabak Covid-19.
“Dalam dua tahun yang singkat, adakah anda tidak merasakan kesakitan?” kata Calon Dewan Senat Republikan, Herschel Walker pada perhimpunan di Georgia.
Gabenor Demokrat New York, Kathy Hochul berdepan cabaran sengit yang tidak dijangka daripada calon Republikan Lee Zeldin, manakala penyandang Dewan Demokrat bergelut dalam pertempuran sengit di seluruh negeri.-REUTERS