Bekas peguam Melania Trump dilantik Presiden wanita pertama Slovenia - Utusan Malaysia

Bekas peguam Melania Trump dilantik Presiden wanita pertama Slovenia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LJUBLJANA: Slovenia memilih bekas peguam Melania Trump sebagai Presiden wanita pertama negara ini.

Natasa Pirc Musar merupakan seorang wartawan dan peguam yang bertanding sebagai calon bebas dengan sokongan kerajaan berhaluan kiri Slovenia.

Beliau mengalahkan bekas Menteri Luar, Anze Logar yang merupakan seorang veteran politik konservatif.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, Pirc Musar memenangi hampir 54 peratus undi, mendahului Logar yang memperoleh 46 peratus undi.

Peratusan keluar mengundi dalam kalangan penduduk sekitar dua juta itu agak rendah, hanya 49.9 peratus.

“Slovenia telah memilih Presiden yang percaya kepada Kesatuan Eropah (EU) dalam nilai demokrasi di mana EU diasaskan.

“Dunia menghadapi masa yang sukar kerana perubahan iklim. Golongan muda kini meletakkan tanggungjawab di atas bahu politik kita untuk menjaga planet kita supaya generasi akan datang, anak-anak kita akan hidup dalam persekitaran yang sihat dan bersih,” kata Pirc Musar selepas kemenangannya.

Pirc Musar akan menjadi Ketua Komander Angkatan Tentera dan juga mencalonkan beberapa pegawai atasan termasuk Gabenor Bank Pusat.

Beliau pernah berkhidmat sebagai peguam untuk melindungi kepentingan Melania yang dilahirkan di Slovenia ketika suaminya, Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS).

Pada tahun 2016, Pirc Musar dan anak guamnya memfailkan saman terhadap majalah Suzy di Slovenia kerana menulis artikel mengatakan Melania pernah bekerja sebagai pengiring semasa meneruskan kerjaya peragaan antarabangsanya.

Penyelesaian di luar mahkamah berjaya dicapai dalam kes itu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya