Bekas pegawai Goldman Sachs saman Tim Leissner RM601 juta - Utusan Malaysia

Bekas pegawai Goldman Sachs saman Tim Leissner RM601 juta

ROGER NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang disabitkan bersalah kerana terlibat dengan konspirasi penyelewengan dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bertindak menyaman saksi utama pendakwaan yang juga bekas majikannya, Tim Leissner.

Ng mendakwa Leissner terbabit dalam penipuan dan mengemukakan saman berjumlah lebih AS$130 juta (RM601 juta) ke atas bekas majikannya itu.

Dalam aduan yang difailkan di Mahkamah New York di Manhattan, Ng menuduh bekas majikannya berulang kali berbohong untuk mencuri pelaburannya dalam syarikat pengeluar minuman tenaga, Celsius Holdings dan syarikat kecerdasan buatan, Sentient Technologies.

Aduan tersebut memberitahu, Leissner yang merupakan bekas rakan kongsi Goldman Sachs mencuri wang milik Ng untuk menampung kos pembelaan dalam kes jenayah berkaitan di mana beliau mengaku bersalah pada 2018, menyebabkan Ng kekurangan dana untuk membela diri dan merayu bagi sabitan kesalahannya.

“Ng berada dalam kedudukan yang tidak dapat dibayangkan kerana terpaksa mempertahankan diri terhadap dakwaan yang dibuat oleh individu yang menipunya dan mencuri wang yang diperlukan oleh plaintif  untuk membela diri terhadap dakwaan yang sama,” jelas aduan itu.

Peguam Leissner bagaimanapun  enggan mengulas lanjut berhubung isu itu.

Ng yang juga bekas ketua perbankan pelaburan untuk Goldman Sachs Malaysia berkata, Leissner turut menggelapkan pegangannya berjumlah AS$1.25 juta (RM5.78 juta) daripada syarikat Celsius yang kini berjumlah lebih AS$130 juta (RM601 juta), termasuk wang AS$1 juta (RM4.62 juta) untuk membeli separuh daripada pelaburan Leissner dalam Sentient.

Jelasnya lagi, dia hanya mengetahui Leissner telah mengalihkan pelaburan dalam Celsius apabila Leissner dan isterinya yang juga model dan usahawan, Kimora Lee Simmons, disaman oleh bekas suami wanita itu, eksekutif rekod, Russell Simmons pada Mei tahun lalu.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 bilion (RM13.41 bilion) dan unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah, sekali gus menyelesaikan siasatan terhadap rompakan berbilion dolar daripada 1MDB dan pemberian rasuah bagi tujuan perniagaan dengan bank Wall Street.

Juri persekutuan di Brooklyn pada April lalu mensabitkan Ng kerana kesalahan bersubahat melanggar undang-undang antirasuah serta terbabit dalam pengubahan wang haram. 

Ng berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan dia bersama Leissner dijadualkan dijatuhkan hukuman pada pertengahan Februari.

Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang disyaki dalang rompakan itu, turut didakwa di Brooklyn namun masih bebas sehingga kini.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya