Australia berdepan kekurangan tenaga kerja asing - Utusan Malaysia

Australia berdepan kekurangan tenaga kerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia menghadapi kesukaran menarik jumlah warga asing yang mencukupi untuk mengisi kekosongan tenaga kerjanya, walaupun kuota penghijrahan tetap tahunannya dinaikkan kepada 195,000 orang.

Lapor Channel News Asia, jumlah pendatang asing, pelajar dan pemegang visa pekerja serta pelancong yang kembali ke Australia semakin meningkat selepas kerajaan menarik balik sekatan ekoran Covid-19.

Tetapi Australia mungkin memerlukan sedikit masa sebelum tenaga buruhnya yang sangat bergantung kepada pekerja asing merasakan kesan daripada peningkatan kuota tersebut kerana perlu bersaing dengan negara lain untuk mendapatkan tenaga terlatih.

Ini terutama berlaku untuk industri perhotelan di mana restoran, pub dan hotel kekal antara yang paling teruk terjejas oleh Covid-19, selepas sejumlah besar pemegang visa sementara meninggalkan negara ini semasa wabak itu.

Pengerusi Eksekutif Dewan Pelancongan Australia, John Hart berkata, industri tersebut belum dapat melaksanakan perkhidmatan yang optimum berikutan kekurangan tenaga kerja.

“Kami mempunyai restoran yang hanya beroperasi selama lima hari dalam seminggu dan bukan lagi tujuh hari. 

“Pemulihan keseluruhan kami adalah pada tahap 74 peratus daripada apa yang mungkin berlaku jika kami benar-benar dapat menggaji kakitangan di semua tempat kami untuk menyampaikan pengalaman perkhidmatan terbaik,” jelasnya.

Kepelbagaian budaya kini bertukar menjadi beban kepada tempat kerja di seluruh Australia, di mana semua jenis perniagaan termasuk peruncitan dan teknologi maklumat menghadapi masalah kekurangan kakitangan.

Terdapat kelewatan untuk meminta pendatang berpindah dan mengisi kekosongan jawatan serta peluang kerja yang tersedia kerana proses tersebut memakan masa dan pendatang asing perlu menyesuaikan diri dengan suasana baharu sebelum memulakan kerja.

“Kami perlu mula menyewa penerbangan, mempunyai tempat duduk bersubsidi dalam pesawat, mempunyai hubungan antara pemegang visa dan bakal majikan mereka supaya sebarang masalah dapat diselesaikan sebelum mereka tiba di negara ini.

“Semua perkara ini perlu dilihat jika kita mahu meningkatkan semula kemasukan pekerja asing sebelum penghujung 2023,” kata Hart.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya