AS pujuk Ukraine berunding dengan Russia, Kyiv enggan ikut telunjuk

AS pujuk Ukraine berunding dengan Russia, Kyiv enggan ikut telunjuk

ORANG ramai menunggu bantuan di sebuah pusat di Kherson, Ukraine selepas tentera Russia berundur dari bandar tersebut. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Cubaan Barat untuk memujuk Ukraine berunding dengan Moscow dalam mengakhiri perang yang berlaku umpama ‘menyerah diri kepada Russia‘.

Perkara itu dinyatakan oleh penasihat Presiden Ukraine, Mykhaylo Podolyak yang berkeras, negara ini sesekali tidak akan menyerah kalah atau bertolak ansur dengan Russia.

“Apabila anda mempunyai inisiatif di medan perang, agak pelik untuk menerima cadangan seperti ‘anda tidak boleh melakukan semuanya dengan kaedah ketenteraan, anda perlu berunding’.

“Itu bermakna, negara yang ‘bertungkus-lumus memulihkan wilayahnya perlu menyerah diri kepada negara yang kalah,” ujar Podolyak.

Media Amerika Syarikat (AS) sebelum ini melaporkan beberapa pegawai kanan mula meyakinkan Ukraine supaya adakan rundingan dengan Russia, tetapi ditolak oleh Presiden Volodymyr Zelensky.

“Tidak semestinya perang boleh diakhiri dengan ketenteraan, rundingan juga boleh menamatkannya,” kata pegawai tinggi tentera AS, Jeneral Mark Milley pada awal bulan ini.

Menurut Podolyak, Moscow tidak memberi sebarang isyarat mengenai rundingan damai bersama Kyiv dan hal itu menyebabkan Ukraine tidak yakin langkah tersebut berkesan untuk menamatkan perang.

Jelas beliau, Russia sebenarnya tidak mahukan rundingan, sebaliknya hanya melakukan propaganda untuk dunia melihat mereka ‘bersedia berunding’.

“Ketika Russia mengalihkan pandangan dunia, mereka secara senyap-senyap akan mencari peluang melancarkan lebih banyak serangan, mencari lebih banyak senjata dan mengukuhkan barisan hadapan,” ujarnya.

Tentera Russia berdepan satu demi satu kekalahan sejak beberapa minggu lalu, namun Presiden Vladimir Putin yakin tenteranya ‘masih mampu memusnahkan Ukraine’.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Ukraine juga menegaskan bahawa Barat tidak boleh memberi tekanan kepada negara ini supaya mengadakan rundingan damai dengan Russia.

Moscow meningkatkan serangan terhadap Ukraine sejak beberapa minggu lalu, menyebabkan jutaan penduduk di negara ini terputus bekalan elektrik.

Wilayah Zaporizhzhia di selatan Ukraine dan Lugansk di bahagian timur negara ini dijangka menjadi ‘petunjuk utama’ kepada kedua-dua pasukan tentera.

Namun, Ukraine enggan membuat sebarang spekulasi mengenai operasi ketenteraan untuk merampas kembali Crimea. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.