JAKARTA: Ketua umum Parti Gerindra, Prabowo Subianto menyatakan ada sebahagian kelompok masyarakat di negara ini tidak menghormati jasa dan sumbangan yang dikeluarkan oleh barisan pemimpin.
Beliau menyentuh perkara itu ketika menyampaikan ucapan sempena program ‘PKB Road to Election 2024’ di Senayan, di sini kelmarin.
“Apa yang boleh saya lihat, ada bangsa kita yang tidak menghormati prestasi pemimpin kita sendiri.
“Malahan, negara lain lebih menunjukkan rasa hormat kepada Indonesia kerana mampu menguruskan ekonomi negara dengan baik.
“Amerika Syarikat (AS) sebuah negara maju, tapi percaya atau tidak, masih ramai rakyatnya jadi gelandangan, begitu juga dengan Eropah yang ketika ini bergelut dengan kenaikan kos hidup. Maka, kita sebagai rakyat Indonesia harus bersyukur kerana keadaan kita jauh lebih baik,” katanya.
Jelas Prabowo yang juga merangkap Menteri Pertahanan, politik di Indonesia masih dipandang rendah oleh segelintir bangsa sendiri.
Katanya, golongan itu sering menganggap pemimpin sedia ada tidak cukup baik untuk mentadbir kerajaan.
“Saya selalu lihat, jika ada sedikit hal yang tidak kena dilakukan oleh pemimpin, golongan itu akan mencerca, mengherdik pemimpin seolah mereka melakukan dosa besar. Kita adalalah manusia, lakukan kesilapan itu perkara normal, tapi jangan dijadikan kebiasaan.
“Sebaiknya, kita jangan rendahkan pemimpin sendiri kerana tanpa mereka, bagaimana negara ditadbir? Bagaimana untuk memastikan keperluan rakyat sentiasa terbela?,” tegurnya.