JABALIA: Sekurang-kurangnya 21 orang termasuk 10 kanak-kanak terbunuh dalam insiden kebakaran di sebuah bangunan di kem pelarian yang padat dengan penduduk di Semenanjung Gaza.
Anggota bomba berjaya memadam kebakaran yang berlaku di kem pelarian Jabalia yang merupakan satu daripada lapan kem di Gaza.
Seorang pegawai keselamatan tempatan memberitahu portal berita BBC, siasatan awal menunjukkan terdapat kebocoran gas dari dapur bangunan yang menjadi punca kebakaran itu.
Pengarah perkhidmatan kecemasan di Hospital Indonesia di utara Gaza, Dr. Salah Abu Laila menyifatkan kebakaran itu sangat besar dengan video di media sosial menunjukkan keseluruhan bangunan itu hangus terbakar.
Orang ramai kelihatan menjerit di luar bangunan yang terbakar, manakala saudara-mara mangsa berada di jalanan sambil menangis dan berdoa.
Seorang penduduk tempatan yang bergegas ke tempat kejadian berkata, terdapat petrol disimpan di dalam bangunan untuk mengendalikan generator yang menyebabkan api bertambah marak.
“Situasi yang sangat sukar dan amat menyedihkan apabila mengetahui ada kanak-kanak dan wanita yang terbakar tetapi tidak mampu menyelamatkan mereka,” jelas seorang saksi kejadian.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang berpangkalan di Tebing Barat menyifatkannya sebagai tragedi negara dan mengisytiharkan hari berkabung semalam.