15 terbunuh serangan Russia di Kherson - Utusan Malaysia

15 terbunuh serangan Russia di Kherson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Seramai 15 orang awam terbunuh dan lebih 35 lagi cedera ekoran serangan Russia ke atas bandar Kherson di selatan Ukraine semalam.

Serangan itu berlaku ketika jurutera di seluruh negara berusaha memulihkan bekalan haba, air dan kuasa elektrik ke bandar-bandar utama.

“Sejumlah 15 penduduk terbunuh dan 35 cedera, termasuk seorang kanak-kanak, akibat serangan musuh. Beberapa rumah persendirian dan bangunan tinggi turut rosak.

“Penceroboh Russia melepaskan tembakan ke arah kawasan perumahan dengan pelbagai pelancar roket menyeabkan sebuah bangunan besar musnah terbakar,” kata Ketua Pentadbiran Tentera Kherson, Yarovslav Yanushovich.

Susulan itu, Gabenor wilayah itu berkata, pesakit di hospital bandar dan lain-lain daripada unit psikiatri dipindahkan kerana serangan berterusan Russia dan Majlis Bandar Kherson menawarkan untuk memindahkan orang awam ke wilayah lain.

Terdahulu, serangan udara Russia dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengakibatkan infrastruktur tenaga Ukraine lumpuh ketika musim sejuk menghampiri dan suhu hampir membeku, mencetuskan kebimbangan terhadap krisis kesihatan dan pemindahan beramai-ramai.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, lebih enam juta isi rumah di negara itu masih terjejas akibat pemadaman elektrik, dua hari selepas serangan Russia yang disasarkan ke atas infrastruktur tenaga Ukraine.

“Kami perlu mengharungi musim sejuk yang akan diingati oleh semua orang,” kata Zelensky di media sosial, ketika Setiausaha Luar United Kingdom, James Cleverly melawat untuk mengumumkan pakej bantuan baharu.

Sementara itu, Menteri Luar Britain juga mengumumkan bantuan baharu untuk Ukraine, termasuk ambulans dan sokongan untuk mangsa keganasan seksual oleh askar Russia.

Dalam pada itu, syarikat tenaga nasional negara itu, Ukrenergo, berkata grid masih menghadapi defisit 30 peratus dengan jurutekniknya bekerja sepanjang masa untuk memulihkan kuasa.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.