BANGKOK: Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi menemukan jalan buntu untuk membantu seorang wanita yang mendakwa dia sudah menunggu kedatangan ibunya di premis berkenaan selama lebih dua bulan.
Ketika ditemukan, wanita itu berada dalam keadaan tidak terurus sehingga tidak mampu memberikan maklumat yang diperlukan oleh pihak berkuasa untuk membantunya mencari ibunya.
Wanita itu juga tidak dapat memberitahu di mana tempat tinggalnya, sebaliknya hanya memaklumkan dia baru pulang dari luar negara dan ibunya menyuruhnya tunggu di lapangan terbang tersebut sehingga kedatangannya.
Wanita itu menunggu penuh sabar di Pintu 4 di tingkat pertama lapangan terbang tersebut.
Pengawal keselamatan turut memaklumkan, mereka melihat wanita tersebut mmeinta duit daripada pengembara untuk membeli makanan, selain pernah mencuri makanan di kedai serbaneka di lapangan terbang berkenaan.
Seperti dalam filem The Terminal lakonan Tom Hanks, wanita berusia 28 tahun itu menjadikan lapangan terbang tersebut seperti rumahnya, sambil menegaskan dia tidak akan ke mana-mana sehingga ibunya datang menjemputnya.
Kisah wanita itu mendapat perhatian pelbagai pihak sehingga pihak berkuasa Thailand meletakkannya di bawah pusat perlindungan untuk golongan gelandangan.
Selain itu, pihak berkuasa juga akan berusaha mengenal pasti asal usul wanita tersebut dan keluarganya.