Usir penyewa, tuan rumah mahu kaut untung semasa Piala Dunia Qatar

Usir penyewa, tuan rumah mahu kaut untung semasa Piala Dunia Qatar

RAMAI tuan rumah di Qatar mula mengusir penyewa menjelang Piala Dunia 2022 yang berlangsung pada bulan depan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Pemilik rumah di Qatar dikatakan menjadikan penganjuran Piala Dunia di negara ini sebagai peluang besar untuk mengaut keuntungan apabila mula menghalau keluar penyewa warga asing yang mendiami rumah mereka.

Terdapat juga pemilik yang bertindak kejam memberi notis singkat meminta penyewa mengosongkan rumah dalam hanya beberapa hari sahaja.

Lebih sejuta peminat bola sepak dijangka membanjiri ibu negara Doha apabila kejohanan itu berlangsung bulan depan sekaligus memberi tekanan kepada negara kecil itu.

“Tuan-tuan tanah menjadikan peganjuran Piala Dunia sebagai peluang untuk meningkatkan kadar sewa, terutamanya mereka yang mahu menjadikan rumahnya sebagai inap desa (homestay).

“Mereka langsung tidak menunjukkan rasa belas kasihan dan pasaran kini seakan dikuasai oleh ketamakan,” kata seorang wakil sebuah syarikat hartanah yang enggan namanya disiarkan.

Seorang warga asing yang bekerja untuk sebuah syarikat utama Qatar,dikenali sebagai Reem memberitahu, dia hanya diberi tempoh seminggu untuk mengosongkan apartment yang disewanya.

Menurut Reem, pemilik blok itu mahu berpuluh-puluh pangsapuri yang disewanya kepada majikannya dikosongkan supaya mereka boleh memperoleh pendapatan lebih semasa Piala Dunia.

“Kami berasa terhina. Syarikat itu memindahkan saya dan pekerja lain ke sebuah hotel, tetapi kami hanya boleh tinggal di sana sehingga 15 November, lima hari sebelum kejohanan bermula.

“Meninggalkan rumah dengan perlu mengusung semua barang kami di dalam beg dan kotak untuk masuk ke bilik hotel adalah satu perkara yang menyusahkan,” katanya.

Penyewa lain di Doha memberitahu bahawa mereka juga terpaksa membua pilihan sama ada memilih membayar kadar sewa yang lebih tinggi atau mencari rumah sewa lain.

HARGA MELAMPAU

Hartanah di menara tempat Reem pernah tinggal diiklankan di booking.com dengan harga AS$1,700 (RM8,018) satu malam semasa Piala Dunia berlangsung dengan penginapan minimum selama 14 hari.

Sedangkan menurut Reem, sebelum ini dia hanya membayar sewa sebanyak AS$2,500 (RM11,791) sebulan.

Kebanyakan peminat bola sepak akan menginap di hotel, pangsapuri, kapal pesiar dan kem padang pasir yang ditempah melalui portal rasmi Piala Dunia.

Walaupun wujud kebimbangan, penganjur menegaskan penginapan masih mencukupi untuk semua peminat di bandar yang hanya mempunyai 2.8 juta orang itu.

Bagi menangani masalah tersebut,badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA baru-baru ini menyediakan beribu-ribu bilik hotel yang telah ditempah dan ramai pakar berpendapat usaha itu mampu menurunkan harga penginapan tinggi dalam beberapa minggu.

Sesetengah peminat Piala Dunia beralih kepada pasaran terbuka untuk mendapatkan penginapan pangsapuri mewah atau lokasi yang lebih baik berhampiran stadium tertentu, dan harga yang diiklankan untuk beberapa hartanah Doha menampakkan harapan tinggi pemiliknya.

Sebuah vila untuk 29 hari penuh Piala Dunia akan menelan belanja sekurang-kurangnya AS$13,000 (RM61,327) jika ditempah secara dalam talian tetapi harga itu masih boleh meningkat mencecah ratusan ribu dolar.

Terdapat penduduk Doha yang sanggup keluar dari Qatar dan menyewakan kediaman mereka kepada peminat bola sepak sepanjang sebulan penganjuran.

Ketua Penyelidik Firma Valustrat Qatar, Anum Hasan berkata, walaupun undang-undang Qatar membenarkan peningkatan sehingga 10 peratus untuk pembaharuan pajakan, sewa di beberapa daerah di Doha telah meningkat sebanyak 40 peratus sepanjang tahun lalu.

Seorang diplomat di Doha memberitahu, kakitangan kedutaan telah menuntut kenaikan gaji demi memenuhi bayaran sewa mereka yang meningkat mendadak. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya