Saling berbalas tembakan amaran, Korea Utara dan Selatan hampiri perang sekali lagi

Saling berbalas tembakan amaran, Korea Utara dan Selatan hampiri perang sekali lagi

KOREA Utara dan Korea Selatan saling berbalas tembakan amaran selepas mendakwa kapal dari negara masing-masing menceroboh sempadan maritim. - YONHAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran ke arah kapal Korea Utara pada awal pagi semalam selepas mendakwa kapal itu melintasi sempadan maritim yang terletak dalam kawasan pertikaian.

Tindakan itu menyaksikan Korea Utara membalas tembakan amaran tersebut dan situasi menjadi tegang buat kedua-dua negara.

Sebuah kapal dagang Korea Utara didakwa melintasi Garisan Had Utara pada pukul 3.42 pagi waktu tempatan sebelum berundur ke utara, selepas Tentera Laut Korea Selatan melepaskan tembakan amaran.

Tentera Rakyat Korea Pyongyang (KPA) juga mendakwa sebuah kapal tentera Korea Selatan menceroboh sempadan de facto sejauh 2.5 hingga lima kilometer beberapa minit sebelum KPA melepaskan 10 das tembakan amaran dari pantai barat negara itu.

“Unit pertahanan KP di barisan hadapan mengambil tindakan balas awal untuk mengusir kapal perang musuh dengan melepaskan 10 das tembakan.

“KPA turut memberi amaran sekali lagi kepada pihak musuh yang menceroboh dan melakukan provokasi,” menurut jurucakap tentera Korea Utara menerusi kenyataan.

Sempadan maritim dianggap sebagai titik utama dan menjadi lokasi beberapa pertempuran antara kedua-dua negara sebelum ini.

Ketegangan semakin memuncak dalam beberapa minggu ini selepas Korea Utara melancarkan sejumlah peluru berpandu dan serangan artileri yang mencetuskan provokasi Korea Selatan dan Jepun, selain membimbangkan sekutu Barat.

Pyongyang meningkatkan latihan ketenteraan secara mendadak baru-baru ini, selepas Seoul dan Washington mendakwa pemimpin Kim Jong-un bakal melancarkan ujian peluru berpandu nuklear ketujuh Korea Utara.

Insiden semalam juga berlaku pada hari yang sama Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Wendy Sherman mengadakan rundingan tiga hala dengan Jepun dan Korea Selatan di Tokyo bagi menunjukkan perpaduan selepas pelancaran peluru berpandu oleh Pyongyang. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN