LONDON: Puluhan pengunjung berdepan situasi cemas apabila sebuah roller coaster yang sarat dengan penumpang di sebuah taman tema di barat daya Wales tergelincir dari trek semalam.
Portal berita Daily Mail melaporkan, seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan parah akibat tercampak dari roller coaster dalam insiden mengerikan di Taman Tema Oakwood di Pembrokeshire itu.
Saksi kejadian berkata, mereka mendengar jeritan meminta tolong daripada pengunjung yang terperangkap dalam roller coaster selepas salah satu gerabaknya tergelincir di dalam kawasan hutan di taman tersebut.
“Tidak sampai seminit dalam perjalanan, saya mendengar jeritan kuat dan menyedari gerabak bahagian belakang tergelincir dan menggelongsor dari landasan. Kemudian ramai wanita dan anak-anak kecil mula menangis.
“Saya ternampak seorang lelaki tertiarap di tanah sebelum kakitangan dan paramedik bergegas membantunya. Dia tidak bergerak tetapi kakitangan kemudian memberitahu saya dia sedar dan boleh bercakap,” kata salah seorang saksi yang turut menaiki roller coaster tersebut.
Video yang tular di laman Twitter menunjukkan ambulans udara tiba di tempat kejadian untuk membantu membawa mangsa yang cedera ke hospital berhampiran.
Eksekutif Kesihatan dan Keselamatan mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan bersama pihak polis bagi mengetahui punca sebenar kejadian melibatkan rollercoaster berusia lebih 30 tahun itu.
Menurut jurucakap taman tema itu, pihaknya telah mengosongkan taman tersebut selepas kejadian itu dan terpaksa ditutup sementara kepada orang ramai sehingga siasatan selesai.