BEIJING: Satu video memaparkan seorang remaja berusia 16 tahun meninggal dunia di pusat kuarantin Covid-19 selepas rayuan keluarganya untuk mendapatkan bantuan perubatan diabaikan, mencetuskan kemarahan di China.
Lapor The Guardian, rakaman video mengenai gadis itu tular dalam media sosial di China dalam tempoh 24 jam.
Rakaman menyedihkan itu menunjukkan remaja itu sakit, sukar untuk bernafas dan terlantar atas katil dua tingkat di sebuah pusat kuarantin di Ruzhou, wilayah Henan.
Dalam video tersebut, seorang wanita yang mendakwa merupakan ibu saudara remaja itu memberitahu anak saudaranya meninggal dunia selepas mengalami demam, sawan dan muntah.
Wanita itu mendakwa keluarga mangsa sudah lama meminta bantuan perubatan namun tiada sesiapa termasuk pihak berkuasa yang tampil membantunya.
Rakaman video itu muncul ketika pemimpin Komunis mengadakan pertemuan di Beijing untuk kongres parti mereka.
Sebelum ini, terdapat laporan bahawa ribuan penduduk di Ruzhou dibawa masuk ke pusat kuarantin sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Sementara itu, wanita itu berkata, enam ahli keluarganya menjalani kuarantin dan anak saudaranya tidak sakit sebelum menginap di pusat berkenaan.











