Rangkaian hotel Shangri-La Asia jadi mangsa penggodaman data - Utusan Malaysia

Rangkaian hotel Shangri-La Asia jadi mangsa penggodaman data

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Lapan hotel Shangri-La di Asia, termasuk di Singapura dan Hong Kong, menjadi mangsa penggodaman pangkalan data, yang berpotensi mendedahkan maklumat peribadi tetamu seperti nama, alamat e-mel dan nombor telefon.

Pakar forensik siber dipanggil untuk menyiasat penggodaman tersebut selepas penemuan aktiviti tidak dibenarkan pada rangkaian teknologi maklumat Shangri-La, menurut rangkaian hotel itu dalam e-mel kepada pelanggan pada malam Jumaat lalu.

“Siasatan menunjukkan bahawa antara Mei dengan Julai lalu, satu ancaman canggih berjaya melepasi sistem pemantauan keselamatan IT Shangri-La tanpa dikesan dan mengakses pangkalan data tetamu secara haram,” menurut Naib Presiden Kanan Operasi dan Proses Transformasi Kumpulan Shangri-La, Brian Yu.

Hotel yang terjejas ialah Island Shangri-La, Kerry Hotel dan Kowloon Shangri-La di Hong Kong, Apartmen Shangri-La dan Shangri-La Singapura, Shangri-La Chiang Mai, Shangri-La Far Eastern di Taipei dan Shangri-La Tokyo.

“Siasatan mengesahkan bahawa sesetengah fail data sudah dicuri dari pangkalan data yang digodam,” kata Brian.

Pangkalan data itu mengandungi gabungan nama tetamu, alamat e-mel, nombor telefon, alamat tempat tinggal, nombor keahlian Shangri-La Circle, tarikh tempahan dan nama syarikat, lapor agensi berita CNA.

“Kita memberi jaminan kepada anda bahawa maklumat seperti nombor pasport, nombor pengenalan diri (ID), tarikh lahir dan nombor kad kredit dengan tarikh luput disulitkan,” katanya sambil memaklumkan bahawa tiada bukti setakat ini bahawa data peribadi telah dikeluarkan oleh pihak ketiga atau disalahgunakan.

Sebagai langkah keselamatan tambahan, beliau berkata, pihak pengurusan juga menawarkan kepada tetamu yang terjejas perkhidmatan pemantauan identiti percuma selama setahun yang disediakan oleh Experian, penyedia perkhidmatan pihak ketiga, di destinasi yang dibenarkan oleh peraturan tempatan.

Perkhidmatan pemantauan identiti adalah satu pilihan yang ditawarkan dan tetamu boleh menentukan jumlah maklumat yang perlu disertakan.

Kumpulan Shangri-La berkata, ia bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai perkara itu, selain memohon maaf kepada pengunjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN