MALANG: Pihak berkuasa Malang menzahirkan rasa sedih dan kecewa berhubung insiden rusuhan ganas yang berlaku sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 129 orang pada kelmarin.
Ketua Daerah Malang, HM Sanusi berkata, pihak berkuasa tempatan akan menanggung semua kos perubatan semua penyokong yang cedera dalam insiden tersebut.
“Kami sudah periksa semua hospital yang merawat mangsa dan kami akan menanggung semua kos perubatan.
“Kami juga meminta agar semua hospital memberikan rawatan yang terbaik kepada mangsa sehingga mereka pulih 100 peratus,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Dianggarkan seramai 180 mangsa cedera dalam insiden tersebut dan mereka dihantar ke beberapa hospital untuk menerima rawatan.
Dalam pada itu, angka korban dijangka meningkat memandangkan ada mangsa yang mengalami kecederaan parah.
Insiden itu bermula selepas pasukan Arema kalah 2-3 kepada Persebaya Surabaya dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Kanjuruhan.
Kumpulan penyokong antara kedua-dua pasukan saling merusuh sehingga polis melepaskan gas pemedih mata menyebabkan mereka panik dan saling merempuh antara satu sama lain.
Kebanyakan mangsa yang terkorban kerana sesak nafas dan dipijak.