OTTAWA: Syarikat penghantar makanan dalam talian, Uber Eats kini menyediakan perkhidmatan penghantaran ganja kepada penduduk yang tinggal di sekitar bandar Toronto, Kanada.
Pengurus Uber Eats Kanada, Lola Kassim berkata, syarikatnya bekerjasama dengan pasaran ganja dalam talian, Leafly untuk menghantar bahan terlarang itu daripada tiga peruncit tempatan iaitu Hidden Leaf Cannbis, Minerva Cannabis dan Shivaa’s Rose.
Katanya, penduduk yang berusia 19 tahun ke atas dibenarkan memesan ganja daripada tiga peruncit berlesen di bandar itu melalui aplikasi Uber Eats.
Jelas Lola, peruncit kemudian akan mengarahkan pekerja bertauliah di bawah program pendidikan runcit ganja wilayah itu, CannSell untuk menghantar bahan terlarang yang dipesan ke rumah pelanggan.
“Kami bekerjasama dengan Leafly bagi membantu peruncit menawarkan pilihan yang selamat dan mudah kepada penduduk di Toronto membeli ganja yang sah untuk dihantar ke rumah mereka.
“Langkah ini juga akan membantu memerangi pasaran haram yang semakin berleluasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Ekeskutif Leafly, Yoko Miyashita berkata, kerjasama baharu itu akan membantu menyediakan ganja yang selamat dan sah.
Langkah baharu itu dilaksanakan ketika syarikat Ontario Cannabis Store mendedahkan bilangan premis menjual ganja meningkat kepada 1,460 pada tahun ini.
Jumlah itu meningkat daripada 1,333 premis yang dilaporkan di wilayah itu berbanding tahun sebelumnya. – AGENSI










