Pakistan dikeluarkan dari senarai pembiayaan keganasan global - Utusan Malaysia

Pakistan dikeluarkan dari senarai pembiayaan keganasan global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Badan pemerhati pengubahan wang haram global mengeluarkan Pakistan daripada senarai negara dibawah pemantauan selepas empat tahun.

Lapor Al Jazeera, Pakistan berada dalam grey list (senarai kelabu) Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) sejak 2018 disebabkan kekurangan strategik memerangi pembiayaan keganasan.

Keputusan mengeluarkan republik itu daripada senarai tersebut diumumkan oleh Presiden FATF, T. Raja Kumar pada akhir mesyuarat di Paris, Perancis.

“Pakistan berjaya mengatasi kekurangan teknikal untuk memenuhi komitmen pelan tindakannya.

“Oleh itu, negara itu tidak lagi tertakluk kepada pemantauan FATF,” katanya.

Selepas diletakkan dalam senarai kelabu pada 2018, Pakistan diberi agenda tindakan 27 sasaran yang kemudian ditingkatkan kepada 34 sasaran berkaitan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan tindakan terhadap kumpulan bersenjata.

Dilaporkan, negara tersenarai dalam senarai kelabu dianggap mempunyai kekurangan strategik ketara untuk memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam ciapan mengucapkan tahniah kepada semua institusi atas usaha mereka dalam menjayakan langkah itu.

“Pakistan kini tidak lagi berada dalam senarai itu, ia terbukti usaha gigih dan berterusan yang dilakukan selama ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kepimpinan awam dan ketenteraan serta semua institusi atas kerja keras mereka sehingga membawa kepada kejayaan hari ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN