YANGON: Sekumpulan suspek yang menggunakan patung seks untuk menjalankan ‘ritual pemujaan’ di tempat letak kereta di tapak paling suci Myanmar akan didakwa oleh Kementerian Hal Ehwal Agama.
Menurut kenyataan, kumpulan itu akan didakwa ‘kerana memfitnah agama Buddha’.
Akhbar Global New Light of Myanmar melaporkan, sekitar lapan orang dikesan cuba membawa dua ‘anak patung wanita’ ke dalam pagoda bersalut emas Shwedagon di Yangon, kelmarin.
Pihak keselamatan bagaimanapun berjaya menghalang anak patung itu daripada memasuki kompleks, bangunan ikon yang mendominasi latar langit ibu kota komersial yang didakwa penduduk tempatan, mengandungi helaian rambut Buddha.
Laporan itu menyebut, apabila dikesan kumpulan itu meninggalkan patung di luar dan membuat tawaf di perkarangan sebelum ke tempat letak kereta untuk memulakan ‘ritual mentera itu’.
“Semasa melakukan ritual mereka, anggota keselamatan pagoda memanggil mereka untuk disoal siasat dan menghalang keberadaan anak patung itu di pagoda,” katanya.
Media kerajaan turut menunjukkan gambar anak patung memakai tiara dan pakaian tradisional, tapak tangan mereka dirapatkan secara tradisional dan dipersembahkan dengan buah-buahan dan bunga.
Laporan itu juga menyatakan, kedua-dua figura itu berpakaian sebagai penjaga roh yang biasanya dipersembahkan untuk membawa perlindungan dan tuah.
Ia turut menarik reaksi pengguna laman sosial yang mengecam tindakan kumpulan itu.
“Ini adalah tindakan yang sangat biadap berlaku seperti ini di Shwedagon kerana ia adalah tempat suci,” tulis seorang . – AFP