SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah laut di luar pantai timur negara itu.
Menurut Ketua Staf Bersama (JSC) dalam satu kenyataan, Korea Selatan turut menghantar jet pejuang apabila kira-kira 10 pesawat tentera Korea Utara terbang menghampiri sempadan mereka.
“Korea Utara melepaskan kira-kira 170 das tembakan artileri ke dalam ‘zon penampan laut’ di luar pantai timur dan baratnya,” jelasnya.
Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan (NSC) mengutuk tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai pencabulan pakatan tentera dua hala 2018 yang melarang ‘tindakan permusuhan’ di kawasan sempadan.
Seoul mengenakan sekatan unilateral pertamanya terhadap Pyongyang dalam tempoh hampir lima tahun dengan menyenaraihitamkan 15 individu Korea Utara dan 16 institusi yang terlibat dalam pembangunan peluru berpandu.-AGENSI