LOS ANGELES: Penyanyi rap, Kanye West mendakwa kerugian lebih AS$2 bilion (RM9.37 bilion) dalam hanya satu hari selepas kehilangan kontrak kerjasama berikutan kenyataan anti-Semitik di laman sosialnya.
Menurut portal berita The Guardian, Ketua Pegawai Eksekutif agensi hiburan dan media Endeavour, Ari Emanuel sebelum ini menggesa syarikat-syarikat untuk menghentikan kerjasama dengan penyanyi rap itu berikutan beberapa komen kebenciannya mengenai orang Yahudi baru-baru ini.
Semalam West yang juga dikenali sebagai Ye mengeluarkan kenyataan di laman Instagramnya selepas diberi kebenaran memegang semula akaun berkenaan yang sebelum ini disekat ekoran kontroversi itu.
“Ari Emanuel, saya kehilangan 2 bilion dolar dalam satu hari dan saya masih hidup.
“Ini adalah ucapan kasih sayang. Saya masih sayangkan awak. Tuhan masih sayangkan awak. Wang itu bukan menjadikan siapa saya. Orang di sekeliling yang menjadikan siapa saya,” katanya.
Selain komen anti-Semitik, West turut mencetus kontroversi selepas mempromosikan pakaian dengan slogan ketuanan kulit putih ‘White Lives Matter’ di minggu fesyen Paris baru-baru ini.
Jenama Adidas, Balenciaga, Gap dan beberapa syarikat lain dilaporkan menghentikan kerjasama dengan West dan namanya turut digugurkan daripada agensi bakat CAA yang dinaunginya sejak beberapa tahun lalu.
Jadual tayangan dokumentari mengenai pemuzik itu turut ditangguhkan dan sekolah swasta di California, Donda Academy milik penyanyi itu turut ditutup serta merta.










