LONDON: Hampir separuh daripada penduduk Britain bergelut untuk membayar bil elektrik, ketika harga barangan makanan yang sebelum ini dikategorikan sebagai ‘mampu milik’ terus meningkat sehingga 17 peratus.
Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) memaklumkan, kos minyak sayuran dan pasta dengan harga paling rendah di pasar raya Britain melonjak hampir dua per tiga pada tahun lepas.
Beberapa barangan lain yang turut merekodkan peningkatan harga termasuk roti, biskut dan teh.
Selain itu, ONS juga menganalisis respons daripada 13,305 penduduk berusia 16 tahun e atas di seluruh Britain mengenai kenaikan kos sara hidup yang mereka alami ketika ini.
Respons itu menunjukkan hampir separuh daripada penduduk iaitu bersamaan 45 peratus bergelut untuk membayar bil elektrik sejak awal bulan ini.
Angka itu meningkat kepada tujuh dalam 10 (72 peratus) bagi penduduk yang menggunakan meter prabayar, iaitu 55 peratus orang kurang upaya, 44 peratus orang dewasa kulit putih, 69 peratus orang dewasa kulit hitam dan 59 peratus orang Asia-Britain.
Secara keseluruhan, sebanyak tiga peratus daripada orang dewasa melaporkan mereka mempunyai tunggakan bayaran sewa atau gadai janji dan lima peratus melibatkan bayaran bil elektrik.
Selain itu, lebih 60 peratus penyewa mendapati sukar untuk membayar bil elektrik, manakala 39 peratus lagi bergelut untuk membayar sewa.
Sehubungan itu, rakyat Britain kini berharap perdana menteri baharu, Rishi Sunak dapat membantu mereka mengurangkan beban yang ditanggung ketika krisis kos sara hidup memuncak.