Boris atau Rishi pilihan Britain? - Utusan Malaysia

Boris atau Rishi pilihan Britain?

LIZ TRUSS mengumumkan perletakan jawatannya di hadapan pejabatnya di Downing Street kelmarin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak kini merupakan pilihan paling popular dalam kalangan ahli parlimen parti Tory untuk menggantikan Perdana Menteri Britain, Liz Truss yang meletak jawatan selepas hanya 44 hari memegang tampuk pemerintahan.

Menurut portal politik Guido Fawkes, lebih satu perempat atau 38 ahli parlimen mengisytiharkan sokongan terhadap Johnson berbanding saingan terdekatnya Rishi Sunak yang menerima 27 sokongan dan Ketua Dewan Perwakilan, Penny Mourdant dengan 12 sokongan.

Portal berita Daily Mail melaporkan, Parti Konservatif mengumumkan bakal pengganti Truss perlu menerima pencalonan daripada 100 ahli parlimen untuk membolehkannya menyertai undian.

Ini bermakna maksimum tiga calon akan muncul daripada kalangan 357 ahli Parlimen Konservatif di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen akan mengundi untuk menamakan dua calon dan mengadakan satu lagi undi ‘indikatif’ untuk memberitahu ahli parti mengenai pilihan mereka.

Walaupun Johnson disokong secara terbuka oleh beberapa ahli parlimen untuk kembali berkuasa termasuk bekas setiausaha kebudayaannya Nadine Dorries, terdapat ahli Parlimen yang menganggap beliau tidak mampu mencapai jumlah sokongan yang diperlukan. 

Johnson yang sedang bercuti di Caribbean dikhuatiri tidak sempat untuk berdepan perlumbaan dengan calon lain dan melancarkan kempen yang berkesan.

Bagaimanapun Johnson kekal popular dengan akar umbi Tory dan mereka berpendapat beliau mempunyai keupayaan untuk memulihkan keadaan yang semakin meruncing di Britain jika diberi mandat.

Sementara itu, Sunak sedang mempersiapkan kempen kepimpinannya dari kawasannya di Yorkshire.

Perletakan jawatan Truss memberinya peluang kedua yang tidak disangka untuk bertanding merebut jawatan sebagai perdana menteri.

Sunak sedikit menyepi selepas tewas kepada Truss pada pusingan akhir pemilihan oleh parti Tory pada 5 September lalu.

Bekas setiausaha luar, Dominic Raab memuji beliau sebagai calon paling layak untuk memimpin negara berdepan krisis ekonomi yang semakin meruncing itu.

Raab berpendapat Sunak mempunyai rancangan dan kredibiliti untuk memulihkan kestabilan kewangan dan menyatukan semula Parti Konservatif.

Sunak dijangka akan menghabiskan hujung minggu bersaing untuk memenangi sokongan Ahli Parlimen Tory sebelum pencalonan ditutup.

Mordaunt juga dijangka akan bertanding selepas mendapat tempat ketiga dalam pertandingan terakhir.

Truss meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Britain selepas program ekonominya mencetuskan kejutan pasaran selain menyebabkan Parti Konservatif berpecah selepas beliau hanya berkhidmat selama enam minggu.

Bercakap di luar pejabatnya di Downing Street, Truss mengakui beliau tidak dapat menunaikan janji yang dibuatnya ketika bertanding sebagai pemimpin Konservatif, sekali gus kehilangan kepercayaan daripada partinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN