AS dakwa tentera Iran bantu Russia kendali dron di Crimea - Utusan Malaysia

AS dakwa tentera Iran bantu Russia kendali dron di Crimea

PASUKAN bomba Ukraine memeriksa keadaan bangunan yangmusnah akibat serangan dron di Kyiv baru-baru ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Amerika Syarikat (AS) mendakwa jurulatih tentera Iran berada di Crimea bagi membantu tentera Rusia mengendalikan dron buatan Iran untuk menyerang sasaran di Ukraine, sekaligus meningkatkan ketegangan geopolitik antara negara-negara berkenaan.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price menegaskan, AS mempunyai bukti kukuh berhubung perkara tersebut.

“Kami boleh mengesahkan bahawa anggota tentera Rusia yang berpangkalan di Crimea mengendalikan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) Iran dan menggunakannya untuk melakukan serangan kinetik di seluruh Ukraine, termasuk serangan terhadap Kyiv beberapa hari lalu.

“Kami menilai bahawa anggota tentera Iran berada di Crimea dan membantu Rusia dalam operasi ini. Kami mempunyai maklumat yang boleh dipercayai,” jelasnya.

Rusia merampas Crimea dari Ukraine pada 2014 dan dikatakan menggunakan semenanjung selatan itu untuk melatih askar serta membuka semula pangkalan tentera era Soviet.

Tiada sebarang reaksi segera dari Tehran terhadap tuduhan AS itu tetapi Iran sebelum ini menafikan dron itu buatan negaranya dan Rusia juga menafikan menggunakan dron Iran di Ukraine.

Jurucakap keselamatan negara White House, John Kirby memberitahu pemberita, Washington akan meneruskan usaha untuk mendedahkan serta menghalang bekalan senjata Iran ke Rusia.

Usaha itu termasuk mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Iran di samping mempertimbangkan pertahanan udara terhadap Ukraine.

Anggota Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan turut bersetuju dengan langkah baharu yang akan dikenakan itu.

Britain turut mengenakan sekatan ke atas seorang tokoh tentera kanan dan sebuah firma yang dikatakan terlibat dalam pembekalan dron Iran ke Moscow.

Dalam pada itu, rakyat Ukraine hari ini terpaksa bergelap ketika berdepan hari pertama gangguan bekalan elektrik yang dijadualkan di seluruh negara itu.

Tindakan tersebut terpaksa dibuat bagi memberi laluan kerja-kerja pembaikan di loji tenaga yang rosak atau musnah dalam serangan baru-baru ini dilakukan segera sebelum musim sejuk tiba.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN