SOLO: Cadangan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) untuk dilantik menjadi Naib Presiden pada 2024 ditentang oleh anak sulungnya sendiri.
Gibran Rakabuming Raka yang juga merupakan Datuk Bandar Solo berkata, cadangan itu sama seperti usul memegang jawatan di pejabat Presiden bagi tiga penggal.
Beliau juga memaklumkan belum berbincang lanjut dengan Jokowi mengenai perkara itu, lapor Kompas.com.
Jelasnya, bapanya mahu berehat terlebih dahulu selepas memegang jawatan presiden selama dua penggal.
Sebelum ini, Ketua Badan Pemenangan Pilihan Raya Umum (Pemilu), Parti Demokrasi Indoneisa (PDI) Perjuangan, Bambang Pacul tidak menghalang Jokowi menjadi naib presiden.
Ini kerana, katanya, Jokowi sudah menggalas tanggungjawab sebagai presiden.
“Peraturan juga membenarkan presiden yang sudah menjawat jawatan selama dua penggal sebagai calon naib presiden di Pemilu.
“Namun, ini bergantung kepada keputusan Jokowi, sama ada beliau mahu menggunakan peluang tersebut atau sebaliknya,” katanya.
Bambang berkata, sekiranya Jokowi menyatakan hasrat untuk bertanding lagi, usul tersebut perlu dibawa oleh parti atau gabungan parti politik.
Sebelum ini, wujud spekulasi kononnya Jokowi berhasrat memegang jawatan presiden melebihi mandat pentadbiran selama dua penggal yang akan berakhir pada 2024.
Dakwaan itu tular di sebalik ketegasan Jokowi yang berulang kali menjelaskan beliau tidak berminat menjadi presiden untuk penggal ketiga dan patuh kepada had dua penggal yang ditetapkan dalam Perlembagaan.
Indonesia dijangka mengadakan tiga pilihan raya utama iaitu Pilihan Raya Parlimen, Gabenor dan Presiden pada 2024, yang pertama kali berlaku serentak dalam sejarah negara itu.