13 maut, 19 cedera jet pejuang Russia terhempas - Utusan Malaysia

13 maut, 19 cedera jet pejuang Russia terhempas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk tiga kanak-kanak maut selepas sebuah pesawat pejuang tentera Russia terhempas mengenai bangunan kediaman di bandar Yeysk, barat daya Russia.

Pihak berkuasa Moscow memaklumkan operasi mencari dan menyelamat sudah berakhir.

Menurut Kementerian Situasi Kecemasan dalam satu kenyataan, pasukan penyelamat sudah mengakhiri pencarian mangsa di bawah runtuhan bangunan.

Katanya, pasukan penyelamat menemukan 10 lagi mayat selepas mengumumkan tiga kematian.

“Secara keseluruhan, seramai 13 orang maut manakala 19 lagi cedera dalam nahas itu,” jelas kenyataan itu.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, pesawat pejuang itu terhempas ketika menjalani latihan penerbangan dan juruterbang sempat melenting keluar dengan selamat sebelum nahas.

Jet pejuang jenis Sukhoi Su-34 terbabit terhempas di bangunan pangsapuri yang didiami kira-kira 600 penduduk dan mencetuskan kebakaran.

Menurut kementerian, punca nahas dipercayai akibat masalah teknikal di bahagian enjin jet.

Terdahulu, Presiden Russia, Vladimir Putin segera mengarahkan `semua bantuan diperlukan’ diagihkan kepada mangsa.

Rakaman visual dari lokasi menunjukkan sebahagian besar pangsapuri sembilan tingkat itu terbakar disebabkan nahas berkenaan dan pihak berkuasa tempatan kemudiannya memaklumkan kebakaran sudah dipadamkan. – AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.