fbpx

Thailand siap sedia hadapi hujan, banjir bawaan Taufan Noru

BANGKOK: Thailand bersiap sedia menghadapi hujan lebat dan banjir kilat susulan taufan Noru kini bergerak menghala ke arah barat pada kelajuan 35 kilometer sejam dan dijangka mendarat di tengah Vietnam esok.

Jabatan Meteorologi Thailand memaklumkan, taufan dengan kelajuan angin kira-kira 150 kilometer sejam itu dijangka bertukar kepada ribut tropika dan melanda pelbagai kawasan selepas bergerak ke timur laut Thailand esok.

Jabatan itu memaklumkan ribut tropika disertai monsun barat daya melanda Laut Andaman, selatan Thailand dan Teluk dengan membawa hujan lebat ke Utara, Timur Laut, dan bahagian Tengah termasuk Bangkok dan kawasan sekitarnya, manakala membadai Timur dan Selatan esok hingga 1 Oktober.

Semua wilayah berkenaan dijangka dilanda angin kencang di beberapa kawasan.

“Orang ramai harus mengambil langkah berjaga-jaga susulan kejadian banjir kilat dan limpahan air mungkin berlaku terutama di sepanjang sungai berhampiran kaki bukit dan tanah pamah.

“Penduduk di sepanjang pesisiran pantai juga dinasihatkan untuk berhati-hati,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.

Jabatan Meteorologi menasihatkan semua kapal agar tidak turun ke laut mulai hari ini hingga Sabtu.

“Angin kencang mengakibatkan ombak setinggi dua hingga tiga meter di Laut Andaman dan sekitar Teluk, manakala ombak melebihi tiga meter jika berlaku ribut petir,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengambil langkah berjaga-jaga termasuk pelepasan air daripada terusan serta 2.5 juta beg pasir digunakan bagi mengukuhkan tembok bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Media sebelum ini melaporkan bahawa lima anggota penyelamat di Filipina maut akibat taufan Noru melanda utara negara itu, menyebabkan kejadian banjir dan berjuta-juta orang terputus bekalan elektrik. –

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN