Seorang penduduk dunia maut akibat kebuluran setiap empat saat

Seorang penduduk dunia maut akibat kebuluran setiap empat saat

KRISIS kebuluran sudah menjadi masalah 'kekal' di Somalia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Seorang penduduk dunia dianggarkan meninggal dunia dalam tempoh setiap empat saat, menurut lebih 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelmarin, sekali gus menggesa komuniti antarabangsa mengambil langkah segera bagi menamatkan krisis kebuluran global.

Menerusi surat terbuka kepada semua pemimpin dunia yang menyertai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), sebanyak 238 organisasi dari 75 negara, termasuk pertubuhan Oxfam, Save the Children dan Plan International menzahirkan kebimbangan berhubung tahap kebuluran global ketika ini.

“Setakat ini, kira-kira 345 juta orang di seluruh dunia berdepan kebuluran teruk, menyaksikan jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda sejak 2019.

“Di sebalik jaminan serta janji dari para pemimpin dunia yang kononnya tidak akan membenarkan lagi kebuluran berterusan dalam abad 21, masalah itu sudah ‘kekal’ di Somalia.

“Di seluruh dunia, 50 juta penduduk berada di ambang kebuluran di 45 negara,” menurut surat tersebut.

Menjangkakan 19,700 orang berdepan kematian akibat kebuluran setiap hari, kesemua NGO tersebut menyamakan keadaan itu sama dengan seorang penduduk akan mati setiap empat saat.

“Dengan semua kemudahan teknologi dalam sektor agrikultur dan teknik pertanian yang kita miliki hari ini, kita masih bercakap soal kebuluran pada abad ke-21.

“Ini bukan soal satu negara atau satu benua dan kebuluran tidak pernah mempunyai hanya satu sebab untuk berlaku. Ini adalah berkaitan ketidakadilan dalam hak asasi manusia,” kata Mohanna Ahmed Ali Eljabaly dari Persatuan Penjagaan Keluarga Yaman, satu daripada NGO yang menandatangani surat berkenaan.

Jelas Mohanna, semua pihak tidak sepatutnya mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ untuk meredakan masalah yang berlaku kerana, terdapat nyawa yang bergelut untuk meneruskan kehidupan setiap hari.

Menurut semua NGO berkenaan, krisis kebuluran global disebabkan oleh kemiskinan, ketidakadilan sosial, ketidaksamarataan jantina, konflik, perubahan iklim dan kejutan ekonomi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya