WASHINGTON: Russia didakwa menyalurkan sekurang-kurangnya AS$300 juta (RM1.35 bilion) secara rahsia kepada calon dan parti politik di lebih 24 negara asing sejak 2014 dalam usaha untuk membina pengaruh.
Dakwaan itu berdasarkan laporan penilaian yang dikeluarkan oleh perisikan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Seorang pegawai kanan pentadbiran mendakwa nilai itu melibatkan angka yang minimum dan Russia berkemungkinan sudah menyalurkan dana tambahan secara rahsia dalam beberapa situasi yang tidak dapat dikesan.
“Kami rasa ini hanyalah melibatkan jumlah yang kecil,” kata pegawai itu yang enggan mendedahkan identitinya.
Selain itu, perisikan AS dalam laporan penilaiannya turut menyatakan seorang duta Russia yang berkhidmat di negara Asia sudah menyalurkan jutaan dolar kepada seorang calon Presiden.
Laporan penilaian itu bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang butiran lanjut mengenai nama negara berkenaan.
Namun, sumber pentadbiran yang mengetahui penemuan itu mendakwa Russia membelanjakan kira-kira AS$500,000 (RM2.26 juta) untuk menyokong Parti Demokrat berhaluan tengah kanan Albania ketika Pilihan Raya 2017 serta parti atau calon di Bosnia, Montenegro dan Madagascar.
Menurut sumber itu, Russia menggunakan Brussels sebagai hab untuk menyokong calon-calon berhaluan kanan.
Malah, dakwanya, Kedutaan Russia di Ecuador juga disalurkan `sejumlah dana besar’ dari tahun 2014 hingga 2017 dengan tujuan campur tangan dalam pilihan raya negara itu.
Laporan penilaian itu juga mendakwa Russia menggunakan kontrak palsu dan syarikat rekaan di Eropah serta menyalurkan dana secara langsung kepada Amerika Tengah, Asia, Asia Barat dan Afrika Utara.
“Russia ada kalanya menyalurkan wang tunai namun juga menggunakan mata wang kripto dan hadiah mewah.
“AS ketika ini sedang memaklumkan hasil siasatan itu kepada negara-negara yang terjejas secara langsung,” kata pegawai pentadbiran itu.
Sementara itu, pegawai itu memaklumkan AS sedang membincangkan perisikan itu secara lebih meluas dengan lebih 100 negara.
Katanya, ia merupakan sebahagian `Sidang Kemuncak Demokrasi’ di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, iaitu inisiatif yang dijanjikan beliau dalam kempen pilihan raya presiden 2020.
Pentadbiran Biden memohon penilaian itu dilakukan susulan insiden pencerobohan Russia di Ukraine sejak Februari lalu, yang mendorong usaha besar AS untuk meminggirkan Moscow dan membekalkan senjata kepada Ukraine. – AFP