Perang dadah diakui gagal, Colombia mahu halalkan kokain?

Perang dadah diakui gagal, Colombia mahu halalkan kokain?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOTA: Presiden Colombia, Gustavo Petro memberi bayangan akan mengiktiraf kokain sebagai bahan yang sah di sisi undang-undang selepas mengisytiharkan ‘perang terhadap dadah gagal’.

Bekas pejuang gerila itu berkata, kempen yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) gagal mencapai sasaran.

Disebabkan itu, jelasnya, beliau akan menggunakan strategi antarabangsa baharu bagi memerangi pengedaran dadah.

“Sudah tiba masanya, konvensyen antarabangsa baharu menerima hakikat perang terhadap dadah gagal.

“Ini kerana, sejuta rakyat Amerika Latin mati sebab dadah sejak 40 tahun lalu, serta menyebabkan 70,000 rakyat Amerika Utara maut akibat penggunaan dos berlebihan setiap tahun.

“Peperangan terhadap dadah sebenarnya hanya menguatkan lagi mafia dan melemahkan negara,” katanya ketika membaca kenyataan negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Semasa berucap, Pedro turut mempersoalkan kepada khalayak sama ada kokain lebih beracun kepada manusia di dunia.

“Apakah yang lebih beracun untuk manusia? Kokain, arang batu atau minyak?

“Pendapat yang mengatakan kokain adalah racun mesti disanggah kerana ia hanya menyebabkan kematian yang minimum walaupun dos berlebihan.

“Kenyataan yang melindungi arang batu dan minyak mesti diperbetulkan kerana ia boleh membunuh semua manusia,” katanya.

Presiden sayap kiri pertama negara di Amerika Latin itu turut berjanji untuk memerangi ketidaksamaan, perubahan iklim, mencapai keamanan dengan pemberontak berhaluan kiri dan kumpulan penjenayah.

Colombia merupakan pengeluar dadah kokain terbesar dunia serta 64 peratus daripada semua jenis dadah pada 2019, berdasarkan laporan terkini PBB.

Lebih 90 peratus dadah yang pernah dirampas di AS bersumberkan dari Colombia dan negara itu juga menempatkan pejabat Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah terbesar.

‘Perang terhadap dadah’ dilancarkan oleh bekas Presiden AS ke-37, Richard Nixon pada 1971 dan dipertingkatkan secara besar-besaran di bawah kepemimpinan Ronald Reagan pada 1980an.

AS mengalami kerugian lebih satu trilion dan sehingga kini masalah penggunaan dadah gagal dibendung.

Bahkan, kematian semakin meningkat sebanyak 15 peratus pada tahun lalu.

KOKAIN KEKAL HARAM

Dalam pada itu, Menteri Kehakiman Colombia, Nestor Osuna menegaskan kokain akan kekal haram di negara itu.

Katanya, pihak berkuasa akan terus berusaha menghentikan eksport dadah itu.

Jelasnya lagi, pihaknya akan memburu mafia yang mengeksport dadah serta individu yang membantu mereka.

Sementara itu, pihak berkuasa di Petro, Felipe Tascon berkata, pihaknya akan mengawal selia penjualan kokain kerana yakin dapat mengawal pasaran daripada dikuasai kartel dadah.

“Pengedar dadah tahu perniagaan mereka adalah sememangnya dilarang.

“Jika anda mengawal selia seperti pasaran awam akan menyebabkan mereka kehilangan keuntungan sekali gus membasmi pengedaran dadah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya