LILLE: Pihak berkuasa Perancis berjaya menyelamatkan kira-kira 190 pendatang yang cuba merentasi Selat Inggeris, dalam siri operasi yang dijalankan.
Menurut pihak berkuasa pantai, Premar dalam kenyataan, kapal peronda tentera laut menemukan hampir 60 orang di luar pantai Perancis, pada awal pagi Sabtu.
Jelas kenyataan tersebut, pihaknya kemudian menyelamatkan 50 orang lagi pada pagi itu sekali gus membawa kesemua pendatang berkenaan pulang ke wilayah Perancis.
Sementara itu, pasukan gendarmerie turut menyelamatkan 47 orang di luar pantai utara pada pagi Sabtu, dengan 29 lagi diselamatkan pada hari yang sama.
Menurut Premar, secara keseluruhannya, kira-kira 190 orang berjaya diselamatkan dalam tempoh 24 jam.
Semakin ramai pendatang yang ingin ke Britain cuba menyeberangi Selat Inggeris dengan menggunakan bot kecil.
Pihak berkuasa kini menambah kawalan keselamatan di pelabuhan Calais dan terowong Channel Tunnel.
Kegiatan rentas selat secara haram merupakan perjalanan amat berbahaya ekoran ia adalah laluan perkapalan yang paling sibuk di dunia.
Kementerian Dalam Negeri Perancis menganggarkan kira-kira 20,000 orang cuba merentas selat secara haram antara 1 Januari dan 13 Jun tahun ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 68 peratus bagi tempoh sama tahun lalu. – AFP