BEIJING: Pasangan ibu bapa di China memfailkan saman terhadap anak kandung yang pernah ditinggalkan ketika kecil, hanya kerana enggan membelikan rumah untuk adik lelakinya.
Lapor Oddity Central, pasangan itu muncul semula dalam kehidupan Zhang, 29, setelah mengetahui anak kandungnya kaya dan mempunyai wang simpanan yang banyak.
Zhang berusia dua tahun ketika ditinggalkan oleh ibu bapa kandungnya atas alasan tidak mampu membesarkannya kerana mengalami masalah kewangan.
Pasangan itu meletakkan Zhang dibawah jagaan keluarga saudara mereka dan sejak itu tidak pernah sesekali bertemu mahupun menghubunginya.
Zhang sentiasa menganggap keluarga ibu saudaranya sebagai keluarga sendiri dan baru-baru ini menggunakan wang simpanannya untuk membantu sepupunya membeli sebuah apartmen.
“Bagaimanapun, Zhang tidak menyangka ibu bapa kandungnya akan mencari dan meminta untuk melakukan perkara yang sama untuk adiknya,” jelas laporan itu.
Shandong Business Daily melaporkan pasangan itu mendesak Zhang membelikan rumah untuk adik kandungnya.
Apabila Zhang enggan berbuat demikian, pasangan itu memfailkan saman di mahkamah dengan meminta wang sebanyak AS$72,000 (RM327,841) sebagai `nafkah ibu bapa’.
Baru-baru ini, mahkamah mengeluarkan keputusan kontroversi sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial negara itu.
Berdasarkan keputusan itu, Zhang secara sah perlu menyara kedua ibu bapa kandungnya walaupun tidak mempunyai kewajipan untuk membeli hartanah kepada adik kandungnya atau membantunya dari segi kewangan.
“Dalam kes ini, mahkamah memutuskan Zhang perlu berunding dengan ibu bapa kandungnya dan menyelesaikan amaun perlu dibayar sebagai nafkah mereka,” jelas laporan itu.
Keputusan mahkamah itu menerima pelbagai reaksi sehingga sebahagian besar warganet mengkritik tindakan ibu bapa kandung Zhang.