ISLAMABAD: Situasi banjir di Pakistan belum pun reda sepenuhnya, namun penduduk yang terjejas akibat bencana itu berdepan cabaran baharu, iaitu penularan demam denggi.
Sebanyak 3,830 kes demam denggi dilaporkan oleh pihak berkuasa kesihatan di wilayah Sindh, selatan Pakistan, dengan sekurang-kurangnya sembilan kematian.
“Secara keseluruhannya, situasi di Sindh amat teruk, banyak kem perubatan dibangunkan di kebanyakan kawasan.
“Kem-kem perubatan itu menempatkan penduduk yang dijangkiti demam denggi dan malaria yang semakin merebak,” kata Dr. Abdul Ghafoor Shoro, Setiausaha Agung Persatuan Perubatan Pakistan.
Beliau memaklumkan, jangkitan wabak itu turut berlaku di beberapa wilayah lain dan semakin bertambah setiap hari.
Dr. Abdul Ghafoor tidak menolak kemungkinan penularan wabak itu akan menjadi lebih teruk menjelang minggu akan datang.
Sudah lebih dua bulan Pakistan dilanda banjir, menyebabkan banyak kediaman, kawasan pertanian dan struktur jalan raya musnah.
Keadaan itu mengakibatkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal, selain sukar mendapatkan rawatan perubatan ekoran akses yang terhad.
Seorang lagi pegawai perubatan, Dr. Khalid Khosa memberitahu, terlalu ramai penduduk yang terjejas akibat banjir jatuh sakit dan memerlukan rawatan perubatan segera.
“Pelbagai jenis penyakit boleh timbul akibat banjir dan keadaan ketika ini amat kritikal,” ujarnya.