Covid-19: Penduduk Chengdu terus dikurung - Utusan Malaysia

Covid-19: Penduduk Chengdu terus dikurung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Ibu negeri wilayah Sichuan, Chengdu, melanjutkan dan memperluaskan perintah berkurung di kebanyakan daerahnya bagi membendung penularan Covid-19 di bandar raya dengan 21.2 juta penduduk itu.

Pihak berkuasa tempatan melaporkan 116 kes baharu, berkurangan berbanding 121 kes sehari sebelumnya termasuk 57 kes bergejala selain 59 lagi tidak bergejala.

Sebelum ini, perintah kawalan pergerakan dijangka ditamatkan semalam, namun pihak berkuasa tempatan mengambil langkah ketara dengan melanjutkan tempoh serta memperluaskan kawasan.

“Masih wujud risiko penularan kes di beberapa kawasan,” menurut pihak berkuasa Chengdu.

Pihak berkuasa turut menyatakan, penduduk dalam kawasan perintah kawalan pergerakan akan menjalani ujian saringan setiap hari, namun tidak mendedahkan tarikh bila perintah itu akan ditamatkan.

Bagi penduduk di daerah yang tidak lagi dikenakan perintah kawalan, mereka akan menjalani ujian saringan besar-besaran pada 9 dan 11 September ini.

Perintah kawalan dilaksanakan di bandar raya mega itu sejak minggu lalu susulan peningkatan kes di beberapa daerah, membolehkan pihak berkuasa melakukan ujian saringan secara besar-besaran.

Sejak pelaksanaan perintah kawalan itu, kira-kira 90 peratus penerbangan di Lapangan Terbang Shuangliu dibatalkan pada Isnin lalu.

China pada tahun ini berusaha membendung penularan varian Omicron dengan melaksanakan pelbagai perintah kawalan di bandar rayanya.

Shanghai antara bandar raya besar yang dikenakan perintah kawalan pergerakan selama dua bulan pada April dan Mei lalu menerusi dasar dinamik sifar Covid-19, di mana penularan jangkitan cuba dihentikan sebaik ia dikesan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya