Barisan terlalu panjang, orang ramai digesa berhenti datang beri penghormatan terakhir buat Ratu Elizabeth - Utusan Malaysia

Barisan terlalu panjang, orang ramai digesa berhenti datang beri penghormatan terakhir buat Ratu Elizabeth

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan Britain menggesa orang ramai supaya tidak menyertai barisan panjang bagi memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II kerana jumlah yang luar biasa dengan orang ramai perlu beratur sekurang-kurangnya 24 jam untuk sampai ke dewan Westminster Abbey.

Puluhan ribu orang dilaporkan mahu ‘melihat sendiri’ keranda Ratu Elizabeth sehingga tidak kisah beratur berjam-jam dalam keadaan yang gelap dan sejuk, asalkan dapat memberi penghormatan kepada raja paling lama memerintah Britain.

Jabatan Kebudayaan Britain memaklumkan, pihaknya akan menghentikan sementara giliran orang ramai jika permintaan terlalu tinggi.

Jabatan itu kemudian turut mengeluarkan kenyataan pada jam 1 pagi (waktu tempatan), meminta orang ramai ‘tolong jangan hadir’.

Kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 8 September lalu telah mencetuskan kesedihan di seluruh negara dengan sepanjang 10 hari tempoh berkabung berlangsung, pelbagai acara diatur sebelum hari pengebumian yang bakal berlangsung Isnin ini.

Bagi pesara, Hasmukh Vara, 62, yang berbaris selama 13 jam untuk memberikan penghormatan terakhir, ia mencerminkan keinginannya untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada mendiang Ratu dan Britain selepas dia berpindah ke negara itu dari Kenya pada 1970-an.

“Kami datang sebagai pelarian ke negara ini.

“Sepanjang hidup saya terhutang budi kepadanya kerana memberi kami rumah. Ia sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan amat besar kepada seluruh keluarga,” katanya.

Difahamkan hampir 100 presiden dan ketua kerajaan termasuk dari Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Jepun, Jamaica dan Kanada akan memberi penghormatan terakhir dalam satu daripada istiadat terbesar yang pernah diadakan di Britain.

Semalam, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menjadi salah seorang pemimpin pertama yang tiba bagi memberikan penghormatan terakhir.

Hari ini, Raja Charles III dijadualkan bertemu perdana menteri dari 14 negara lain dan bertemu pekerja dalam perkhidmatan kecemasan yang membantu melancarkan upacara pengebumian. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN