ISLAMABAD: Pakistan merayu kepada komuniti antarabangsa untuk tampil membantu negara itu yang ditimpa banjir dahsyat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,265 orang.
Rayuan itu dibuat oleh Menteri Perancangan dan Pembangunan Pakistan, Ahsan Iqbal yang memohon bantuan kemanusiaan bagi 33 juta penduduk terjejas akibat hujan monsun yang mencetuskan banjir.
Lapor Al Jazeera, permohonan itu dikemukakan ketika beberapa pesawat membawa bekalan bantuan ke Pakistan merentasi koridor kemanusiaan.
Tumpuan masyarakat antarabangsa terhadap nasib Pakistan semakin tinggi selepas angka kematian dan bilangan penduduk kehilangan tempat tinggal mencatatkan peningkatan.
Berdasarkan anggaran awal kerajaan, hujan lebat dan banjir menyebabkan kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44.8 bilion).
“Skala kemusnahan adalah amat besar dan memerlukan bantuan kemanusiaan segera bagi 33 juta penduduk yang terjejas.
“Saya merayu kepada warga Pakistan, ekspatriat Pakistan dan masyarakat antarabangsa untuk tampil membantu negara ini dalam waktu yang sukar ini,” katanya dalam sidang akhbar.
Sebelum ini, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan (NDMA) menerusi laporan terbaharu melaporkan 57 lagi kematian dari beberapa kawasan terjejas banjir.
Angka itu menjadikan jumlah kematian sejak hujan monsun bermula pada pertengahan Jun lalu, kepada 1,265 orang termasuk 441 kanak-kanak.