CARACAS: Usaha untuk membawa pulang ahli perniagaan warga Malaysia, Leonard Glenn Francis atau dikenali sebagai ‘Fat Leonard’ berdepan kesukaran kerana Washington dan Caracas mempunyai perjanjian ekstradisi yang terhad.
Pentadbiran Presiden Joe Biden malah tidak mengiktiraf kerajaan sosialis pimpinan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
AS yang pernah mengenakan sekatan terhadap Venezuela juga secara rasmi tidak mempunyai kedutaan di negara berkenaan.
Kerjasama penguatkuasaan undang-undang antara kedua-dua negara jarang berlaku serta tiada maklumat terkini mengenai Francis berkemungkinan diekstradisi ke AS.
Beberapa hari lalu, media antarabangsa melaporkan lelaki itu ditahan di Venezuela selepas melarikan diri daripada tahanan rumah sejak lebih dua minggu lalu.
Francis yang berasal dari Pulau Pinang terlibat dalam skandal rasuah besar membabitkan Tentera Laut Amerika Syarikat berjumlah RM160 juta.
Dia dilaporkan memotong gelang peranti pemantauannya sebelum melarikan diri dari kediaman di San Diego.
Ketua Pengarah Interpol Venezuela, Carlos Garate Rondon memberitahu Francis mahu menghapuskan jejaknya dengan melarikan diri ke Russia.
Jelasnya, lelaki itu berjaya ditahan ketika cuba menaiki pesawat untuk melarikan diri ke Russia di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar.
“Francis memilih Russia kerana percaya pihak berkuasa AS ‘tidak boleh menyentuhnya’ jika dia mendarat di negara berkenaan,” katanya.-AGENSI