BANGKOK: Laman web tempahan hotel terkenal, Agoda menyatakan Thailand menjadi satu daripada negara pertama Asia yang sektor pelancongannya kembali ‘meriah’ selepas pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, Omri Morgenshtern berkata, biarpun kadar carian mengenai Thailand dalam laman web tersebut 39 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2019, jumlah trafik yang melakukan tempahan di negara ini semakin meningkat sejak awal 2022.
“Thailand merekodkan peningkatan dalam sektor pelancongan, namun masih belum mencapai rekod tertinggi pada 2019.
“Selalunya, ia mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk kadar carian tersebut kembali seperti era sebelum pandemik.
“Namun, ia juga bergantung kepada negara-negara pelancongan yang lain termasuk China, Hong Kong dan yang terbaharu, Jepun,” katanya seperti yang dilaporkan Bangkok Post.
Menurut Agoda, pada Ogos lalu, kadar carian mengenai hotel domestik di Thailand menerusi laman web tersebut meningkat sehingga 50 peratus berbanding 2019.
Namun, bagi kadar carian pelancong antarabangsa, kadarnya masih rendah.
Jelas Moregenshtern, trauma akibat pandemik Covid-19 juga menyumbangkan kepada penurunan kadar pelancong antarabangsa.