BANGKOK: Timbalan Ketua Setiausaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand (NACC) dipecat kerana disyaki memiliki kekayaan luar biasa hasil rasuah.
Suruhanjaya itu menegaskan, tiada mana-mana pihak akan terlepas daripada tindakan undang-undang walaupun memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.
Selain itu, pihak berkuasa Thailand memaklumkan, kesemua harta kekayaan yang dimiliki Prayad Puangchampa kemungkinan dirampas.
Prayad dipecat semalam selepas harta kekayaan peribadinya dinilai berjumlah 658 juta baht (RM81 juta).
Jumlah itu disifatkan terlalu besar dan ‘tidak sepadan’ dengan kekayaan yang dimilikinya.
NACC juga akan menyiasat sekiranya Prayad ada menyembunyikan hartanya bagi mengelakkan diketahui pihak berkuasa, selain beliau dituduh membuat kenyataan palsu mengenai enam aset yang bernilai dua juta baht (RM240,000).
Beliau didakwa berbuat demikian kerana ingin menyembunyikan kekayaannya ketika dilantik jawatan tersebut pada 2017.
Namun, sejak 2019, sebanyak empat lagi aset bernilai tinggi milik Prayad dikesan yang disembunyikan di negara lain.
Pejabat Peguam Negara kini sudah menerima semua maklumat mengenai siasatan yang dilakukan NACC dan tidak menolak kekayaan Prayad adalah daripada sumber haram, termasuk rasuah.