Tidak hadir AMM, Myanmar jauhkan diri?

Tidak hadir AMM, Myanmar jauhkan diri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buat julung kali dalam sejarah serantau, Myanmar tidak hadir dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-55 yang kini berlangsung di Kemboja sehingga hari Sabtu ini.

Utusan Malaysia difahamkan delegasi negara itu yang sepatutnya diketuai oleh Menteri Luarnya, Wunna Maung Lwin mengesahkan ketidakhadiran mereka di ibu kota, Phnom Penh.

Sumber Wisma Putra ketika dihubungi turut mengesahkan yang Myanmar tidak menyertai persidangan tahunan tersebut sejak mula diperkenalkan di Bangkok pada 1967.

“Ia tentunya hasil kejayaan inisiatif lobi yang cukup kuat telah dimainkan oleh Malaysia sendiri selain negara jirannya, Indonesia, Singapura dan Filipina,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn mengakui kerusi wakil Myanmar kekal kosong meskipun bendera negara tersebut dikibarkan di lokasi program.

Ini kali pertama sebuah negara anggota langsung tidak menghantar wakil dalam AMM kerana ketika Brunei menjadi Pengerusi ASEAN pada sesi tahun lalu, Maung Lwin tetap hadir secara maya.

Bahkan pada 22 Jun lepas, Menteri Pertahanan Myanmar, Jeneral Mya Tun Oo muncul ketika mesyuarat bersama rakan sejawatan serantaunya di Kemboja meskipun dibantah Malaysia.

Kelantangan negara ini bukanlah baharu malah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah sendiri dianggap sebagai tokoh paling lantang mengecam keras Myanmar secara konsisten.

Kemelut negara itu bermula apabila junta merampas kuasa pada 1 Februari 2021 dengan menggulingkan Aung San Suu Kyi atas dakwaan penipuan pilihan raya umum tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, krisis politik negara itu susulan lanjutan tempoh darurat selama enam bulan lagi diisytihar pemimpin junta, Min Aung Hlaing kelmarin dijangka bukan topik utama AMM.

Sebaliknya, ketegangan geopolitik sejagat antara Russia-Ukraine dan terkini, Amerika Syarikat (AS)-China kemungkinan menjadi bahan perbincangan panas ramai menteri luar yang hadir, termasuk delegasi dari Washington, Beijing dan Moscow.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN