fbpx

Taiwan dakwa China ‘berlatih’ untuk serang Taipei

TIGA jet tempur milik tentera Taiwan di landasan Pangkalan Udara Hsinchu. - AFP

TAIPEI: Taiwan menuduh tentera China seolah-olah ‘berlatih’ untuk menyerang pulau utamanya semalam, ketika Beijing meningkatkan tindak balas terhadap lawatan Speaker Kongres Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi selepas mengumumkan penggantungan kerjasama dengan Washington melibat banyak isu utama.

Hubungan China dan AS semakin goyah sejak kunjungan Pelosi ke Taiwan sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak supaya kedua-dua negara segera selesaikan ketegangan yang berlaku.

Kelmarin, Beijing memutuskan untuk menarik diri daripada siri rundingan dan kerjasama dengan Washington, terutamanya dalam sektor iklim dan pertahanan.

Beijing semalam meneruskan latihan ketenteraan di sekeliling Taiwan dengan Taipei menyifatkan negara itu giat berlatih untuk menyerang pulau utamanya pada bila-bila masa.

“Sejumlah kapal dan pesawat milik tentera China melakukan aktiviti di sekitar Selat Taiwan dengan ada di antaranya melepasi garis sempadan ditetapkan,” kata Kementerian Pertahanan Taiwan.

Dalam pada itu, White House memanggil Duta China ke Washington sebagai bantahan terhadap tindakan Beijing melakukan latihan ketenteraan di Taiwan.

Keputusan China untuk menarik diri daripada kerjasama berkaitan perubahan iklim juga mencetuskan kebimbangan besar terhadap masa depan Bumi.

Jurucakap kumpulan pemikir E3G, Alden Meyer menyatakan, adalah mustahil untuk mengatasi masalah perubahan iklim jika China tidak mengambil bahagian.

Jurucakap Keselamatan Kebangsaan AS, John Kirby pula menyifatkan keputusan China itu sebagai tidak bertanggungjawab dan bakal memberi kesan kepada pelbagai pihak di seluruh dunia.

“Mereka (China) sebenarnya menghukum seluruh dunia kerana krisis iklim tidak membezakan sempadan geografi,” tegasnya.

Sementara itu, pelbagai pihak berharap konflik yang berlaku antara China dan AS hanya bersifat sementara dan dapat ‘dipulihkan’ dalam masa terdekat. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!