ALEPPO: Sekurang-kurangnya 14 orang awam terbunuh dan 30 yang lain cedera akibat serangan roket di sebuah pasar di bandar al-Bab, Aleppo, utara Syria, pada Jumaat.
Pasukan Pertahanan Sivil Syria yang dikenali sebagai White Helmets melaporkan, lima kanak-kanak merupakan antara mangsa yang terbunuh Jumaat lalu, lapor Al-Jazeera.
Serangan di bandar yang dikuasai oleh pejuang pembangkang yang disokong Turki berlaku beberapa hari selepas serangan udara yang membunuh tentera Syria dan pejuang Kurdish yang disokong Amerika Syarikat di Aleppo.
Kerajaan Syria menyalahkan Turki atas serangan itu.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, tentera kerajaan Syria melakukan serangan Jumaat lalu, sebagai tindak balas terhadap serbuan Turki.
Sebuah video yang dikongsikan dalam media sosial sejurus serangan itu menunjukkan tumpahan darah di atas tanah bersama roti yang bertaburan, kotak buah-buahan dan sayur-sayuran yang terbalik.