MADRID: Satu bulatan batu prasejarah merangkumi 150 ketul batu menegak dilaporkan muncul di sebuah empangan yang airnya sudah surut, di luar bandar Sepanyol.
Bulatan batu granit itu muncul semula buat kali selepas kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun melanda negara ini, menyebabkan paras air menurun satu perempat berbanding kapasiti biasa.
Lapor Daily Mail, Dolmen of Guadalperal atau dikenali sebagai ‘Stonehenge Sepanyol’ sudah wujud dari 5,000 sebelum Masihi.
Ia terletak di takungan Valdecanas, wilayah tengah Sepanyol dan pernah muncul sepenuhnya empat kali sahaja sejak ditemukan pada 1924.
Tidak banyak diketahui mengenai Stonehenge Sepanyol kerana itu kerana ia terletak di dasar tasik, namun kemunculan baru-baru ini membolehkan ahli arkeologi mendedahkan rahsia purbanya.
“Ia merupakan satu kejutan, ia adalah peluang yang jarang berlaku untuk dapat mengaksesnya,” kata ahli arkeologi Enrique Cedillo dari Universiti Complutense Madrid, seorang daripada pakar mengkaji bulatan batu itu sebelum ia tenggelam semula.
Lokasi itu ditemukan oleh ahli arkeologi Jerman, Hugo Obermaier pada tahun 1925.
Namun, pada 1963, pemerintah diktator Sepanyol, Francisco Franco mengarahkan lembah itu sengaja dibanjirkan dan kawasan itu termasuk bulatan batu berkenaan.
Bulatan batu itu yang berusia sekurang-kurangnya 2,000 tahun lebih tua berbanding Stonehenge di England, mempunyai butiran dipercayai berkaitan Sungai Tagus yang berhampiran.
Malah, beberapa teori menunjukkan struktur prasejarah itu sama ada digunakan sebagai tujuan keagamaan atau diletakkan di atas makam ketika ia dibina oleh penduduk Celtic 7,000 tahun dahulu.
Stonehenge Sepanyol boleh hilang sepenuhnya sekiranya paras air meningkat dalam tempoh lama memandangkan batuan granit berkenaan mudah terhakis.