fbpx

Ramai pemimpin dunia pernah dihukum penjara

GENEVA: Sejarah membuktikan pemimpin dunia akhirnya tersungkur selepas dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah dan penyelewengan kuasa. 

Baik Presiden atau Perdana Menteri sesebuah negara, masing-masing mempunyai sejarah kes yang menjadi liputan meluas seluruh dunia. 

Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun kerana tuduhan rasuah, menghasut tentera, melanggar peraturan Covid-19 dan undang-undang telekomunikasi oleh junta tentera negara itu. 

Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa pula melarikan diri ke Thailand selepas berdepan ancaman ratusan ribu penunjuk perasaan yang mendesak beliau meletak jawatan.

Beliau juga cuba mengelakkan diri daripada ditahan dan dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah selepas dituduh gagal menguruskan ekonomi negara sehingga menyebabkan rakyat mengalami kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan.   

NAWAZ SHARIF – PAKISTAN 

Beliau adalah Perdana Menteri Pakistan selama hampir sedekad dan tiga penggal berturut-turut.

Nawaz dianggap sebagai salah seorang pemimpin terkaya dan jutawan bilionair. 

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, kemudian dibebaskan semasa proses rayuan, sebelum dijatuhkan hukuman tujuh tahun dalam kes rasuah berasingan. 

Nawaz diikat jamin bagi mendapatkan rawatan perubatan selepas tiga bulan dan berjaya melarikan diri ke United Kingdom. 

CHEN SHUI BIAN – TAIWAN 

Bekas Presiden Taiwan ini pernah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun sehingga 2008. 

Beliau terselamat daripada menjalani hukuman ditembak sejurus sebelum pemilihan semula bagi penggal kedua. 

Shui Bian kali pertama dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana rasuah dan berjaya dikurangkan kepada 19 tahun selepas rayuan dikemukakan. 

Pada mulanya, beliau ditempatkan sebagai banduan biasa dalam sel yang berkongsi dengan banduan lain. 

Namun, keadaan itu menyebabkan beliau mendapat sokongan kuat daripada pelbagai penyokong seperti dilaporkan media tempatan. 

Beliau akhirnya dibebaskan dengan parol perubatan selepas genap enam tahun meringkuk dalam penjara. 

Pada 2015, keadaan dirinya dilaporkan sangat lemah dan boleh mati pada bila-bila masa. 

MANUEL NORIEGA – PANAMA 

Noriega mentadbir Panama selama enam tahun sehingga 1986. Sekiranya masih hidup, beliau sudah berusia 88 tahun.  

Pemimpin itu dikenali dengan penyeludupan besar sejumlah kokain rejimnya ke AS serta sejumlah besar senjata yang dibeli dengan hasil penyelewengan tersebut. 

Beliau sememangnya mahir memanipulasi dasar luarnya demi keuntungan sendiri. 

Selepas pencerobohan AS yang membunuh ratusan orang, Noriega dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun oleh mahkamah AS. 

Beliau yang sepatutnya dibebaskan oleh AS pada 2007 seperti yang dijadualkan, diekstradisi ke Perancis serta dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun lagi. 

Pemimpin itu kemudian diekstradisi ke Panama untuk menjalani hukuman penjara selama 60 tahun yang dijatuhkan tanpa kehadiran dirinya. 

Noriega diletakkan di bawah tahanan rumah pada awal 2017, atas alasan perubatan dan meninggal dunia pada bulan Mei tahun itu, selepas mengalami pendarahan otak semasa pembedahan. 

Secara keseluruhannya, mendiang telah menjadi banduan selama 27 tahun. 

CHARLES TAYLOR – LIBERIA 

Taylor merupakan Presiden Liberia selama enam tahun sebelum dibuang ke Nigeria berikutan perang saudara. 

Beliau ditahan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Mahkamah Khas di The Hague pada 2012 yang menjatuhkan hukuman penjara 50 tahun atas tuduhan termasuk perhambaan, rogol dan pembunuhan. 

SERIK AKHMETOV – KAZAKHSTAN 

Beliau adalah Perdana Menteri Kazakhstan dari 2012 hingga 2014. 

Menjelang akhir 2015, beliau dijatuhkan hukuman 10 tahun kerana penyelewengan menerusi perbicaraan besar-besaran. 

Selepas mengaku bersalah dan mengemukakan rayuan serta ahli keluarganya membayar denda sebanyak 200 juta tenge (RM1.9 juta), hukumannya diringankan kepada lapan tahun.

JACOB ZUMA – AFRIKA SELATAN 

Bekas pemimpin Afrika Selatan berusia 80 tahun itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan menuntut komisen atas perjanjian senjata bernilai AS$2 bilion (RM8 bilion) pada 1990an. 

Sudah hampir 17 tahun kes Zuma dibicarakan dan beliau mula didakwa sejak kes perjanjian senjata kontroversi 1999. 

Kes beliau ditetapkan untuk disambung semula perbicaraan pada 17 Mei lalu. 

Zuma didakwa bersama pengeluar senjata Perancis, Thales yang dituduh membayar rasuah kepada dirinya melalui bekas penasihat kewangannya, Schabir Shaik yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan pada 2005. 

Pihak Berkuasa Pendakwaan Kebangsaan Afrika Selatan menentang permohonan beliau yang kerap membuat penangguhan. 

Zuma dituduh menggunakan taktik untuk menghalang perbicaraan terhadap dirinya bermula. 

MOHAMED SUHARTO – INDONESIA

Pemerintahan Suharto selama 32 tahun dibayangi skandal rasuah, amalan kronisme, pemerintahan diktator dan penindasan.

Transparency International menganggarkan jumlah penyelewengan yang dilakukan oleh Suharto adalah sekitar RM60 hingga RM140 bilion.

Cubaan untuk mendakwa beliau atas kesalahan rasuah dan jenayah lain gagal kerana masalah kesihatan.

Pada 27 Januari 2008, Suharto meninggal dunia setelah mengalami masalah kompilasi jantung, paru-paru dan ginjal. Ketika itu, umurnya 86 tahun.

Pada 8 Julai 2015, Mahkamah Agong Indonesia mengarahkan enam anak Suharto dan Yayasan Beasiswa Supersemar membayar balik 4.389 trilion rupiah (RM1.8 bilion), iaitu wang yang pernah diseleweng semasa era pemerintahan diktator itu.

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN