Rakyat Indonesia bazir 16.3 juta tan makanan setahun

Rakyat Indonesia bazir 16.3 juta tan makanan setahun

PENIAGA menjual ikan kepada pelanggan di pasar di Tangerang, Jakarta. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Jumlah pembuangan sisa makanan di Indonesia berada pada tahap membimbangkan, iaitu mencecah 16.3 juta tan setiap tahun.

Timbalan Keselamatan Makanan dan Nutrisi di bawah Agensi Makanan Kebangsaan, Dr. Nyoto Suwignyo berkata, dianggarkan 59.8 kilogram sisa makanan dibuang per kapita setiap tahun.

Katanya, dari angka tersebut, sebanyak 28 kilogram diperoleh dari sisa makanan isi rumah dan 31.8 kilogram lagi bukan sumber isi rumah.

“Jika didarabkan dengan jumlah penduduk Indonesia yang berjumlah 273 juta orang, maka jumlah keseluruhan sisa makanan yang dibuang oleh negara ini mencecah 16.3 juta tan.

“Kita perlu tunggu tiga hingga empat bulan untuk padi matang, namun selepas itu, masyarakat senang sahaja membuang makanan yang tidak habis.

“Bukankah itu satu pembaziran yang tidak wajar?” katanya seperti yang dilapor Tribunnews.

Jelas Nyoto, dari 59.8 kilogram sisa makanan yang dibuang secara per kapita, 2.7 kilogram terdiri dari beras, 7.3 kilogram (sayur), 5 kilogram (buah) dan 2.8 kilogram lagi adalah ikan dan daging.

Sehubungan itu, Pensyarah di Universiti Gadjah Mada dari Fakulti Geografi, Prof. Dr. M. Baiquni mengajak masyarakat untuk ambil peduli mengenai krisis bekalan makanan pada masa depan.

Katanya, usaha untuk memenuhi keperluan bekalan makanan berdepan pelbagai cabaran ketika ini.

“Antara cabarannya adalah peningkatan populasi dunia yang sangat cepat, perubahan iklim dan perubahan teknologi yang boleh mempengaruhi bekalan makanan global.

“Jika bekalan makanan dunia tidak dapat ditingkatkan, maka kita semua berisiko dengan krisis kebuluran.

“Oleh hal yang demikian, jangan membazir makanan setiap hari, amalkan pengambilan berpada-pada demi kelestarian sumber,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN