MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin memberi kebenaran kepada pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melawat dan menyiasat loji nuklear Zaporizhzhia di Ukraine.
Lapor BBC, Kremlin membuat pengumuman itu selepas membuat panggilan telefon dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Putin bersetuju memberikan ‘sebarang bantuan yang diperlukan’ kepada pasukan penyiasat PBB untuk mengakses ke loji nuklear itu.
Loji nuklear itu dikuasai oleh tentera Russia sepenuhnya sejak Mac lalu, tetapi masih dikendalikan oleh juruteknik Ukraine yang bekerja di bawah pemantauan Moscow.
“Kedua-dua pemimpin menegaskan kepentingan menghantar pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke loji nuklear bagi membuat penilaian terhadap ‘situasi di lapangan’,” kata Kremlin.
Ketua Badan Pemerhati Nuklear PBB, Rafael Grossi menyambut baik keputusan tersebut yang menunjukkan kedua-dua negara menyokong matlamat IAEA untuk menghantar misi ke loji nuklear.
Katanya, beliau juga sanggup turun padang dan mengetuai lawatan ke loji nuklear itu.
“Dalam keadaan yang sangat tidak menentu ini, amat penting tiada tindakan baharu diambil yang boleh membahayakan keselamatan di loji tenaga nuklear yang merupakan antara terbesar di dunia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengalu-alukan tindakan pemeriksaan itu dan butiran terperinci mesti diusahakan.
“Sekiranya Russia memberikan ugutan dengan radiasi berterusan, musim panas ini mungkin mencatatkan sejarah kepada negara Eropah sebagai insiden paling tragis sepanjang zaman,” katanya.
Zelensky mendakwa Russia mengubah stesen jana kuasa nuklear tersebut kepada kem tentera dengan menempatkan peralatan ketenteraan, senjata dan 500 tentera yang menggunakan kawasan itu sebagai benteng untuk menyerang bandar merentasi Sungai Dnieper.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kawasan sekitar loji itu diserang dengan tembakan artileri, namun Kyiv dan Moscow saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung serangan itu.
Pegawai Ukraine mendakwa serangan Russia di sekitar kawasan loji itu berterusan Jumaat lalu, dan menuduh tentera Moscow mencederakan empat orang awam di bandar Marhanets yang terletak di seberang sungai.
Gabenor wilayah itu, Valentyn Reznichenko melaporkan lima kediaman rosak akibat serangan.
Walaupun Russia dilihat sanggup memberikan akses kepada penyiasatan, namun, pegawai Moscow dengan tegas menolak tuntutan antarabangsa untuk memusnahkan tapak tersebut. -BBC