LONDON: Puluhan penumpang yang menaiki Eurotunnel Le Shuttle terkandas selama beberapa jam dalam Terowong Channel selepas kereta api dari Calais ke Folkestone itu mengalami kerosakan.
Malah, kira-kira 100 kenderaan milik penumpang berada dalam kereta api itu.
Terowong kereta api sepanjang 50 kilometer (km) itu menghubungkan antara United Kingdom (UK) dan Perancis.
Lapor BBC, rakaman video menunjukkan penumpang sedang dipindahkan menerusi laluan kecemasan di terowong itu selepas terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing.
Kesemua penumpang itu menaiki kereta api lain dan dibawa ke terminal Folkestone di Kent.
Jurucakap Eurotunnel berkata, perkhidmatan tergendala itu kini kembali beroperasi seperti biasa.
Katanya, insiden berkenaan bermula apabila penggera kereta api berbunyi dan perkara itu akan disiasat.
Seorang lagi jurucakap berkata, insiden seperti itu biasa berlaku kepada kereta api membawa lori berbanding kereta.
“Gerabak kereta api itu berjaya dikawal dan akan diperiksa selanjutnya.
“Kami membawa penumpang ke bangunan terminal dan menyediakan makanan sebelum menghantar balik mereka ke kenderaan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, jurucakap itu juga mengesahkan semua penumpang akan dihubungi untuk mengendalikan urusan pembayaran ganti rugi.