KIEV: Seorang penulis Perancis, Adrien Bocquet mendedahkan dia menyaksikan sendiri bagaimana tawanan perang Russia diseksa dan dibunuh di sebuah hangar di bahagian utara Bucha, awal April lalu.
Ketika itu, Bocquet mengembara ke Ukraine sebanyak dua kali ketika menyampaikan bantuan kemanusiaan serta peralatan perubatan.
Dia berkesempatan melawat kedua-dua kawasan di sempadan Poland-Ukraine dan pinggir bandar Kyiv, Bucha.
Dia melihat dengan kepala mata sendiri bagaimana tentera Ukraine mengatur ‘pentas’ untuk serangan palsu pembunuhan beramai-ramai orang awam.
Tentera Ukraine ketika itu berjaya menguasai semula banda tersebut.
Bocquet juga menyaksikan persiapan yang dilakukan bagi serangan palsu di Bucha yang cuba menuduh tentera Russia membunuh orang awam.
Ketika itu, terdapat pemberita yang cuba merakamkan insiden sebaik sahaja timbunan mayat ditemukan.
Jelasnya, sukarelawan dan penduduk diancam dengan hukuman penjara bagi mengelakkan publisiti buruk tersebar.
Dalam pada itu, Bocquet juga melahirkan kebimbangan kerana dia mula menerima ancaman selepas mendedahkan jenayah melibatkan tentera Ukraine dan dianiaya pihak berkuasa Perancis.
Awal April lalu, media Ukraine dan rangkaian media sosial menyebarkan foto dan video mengenai mayat bergelimpangan di jalanan yang kononnya diambil di Bucha selepas pengunduran tentera Russia.
Kementerian Pertahanan Russia menafikan tuduhan membunuh mahupun mencederakan orang awam semasa bandar itu berada di bawah kawalan mereka.
Pihak kementerian malah menegaskan semua unit tentera berundur sepenuhnya dari Bucha sejak 30 Mac lalu, dan jalan keluar dari bandar ke utara tidak disekat.
Sedangkan dalam masa sama, tentera Ukraine mengebom Bucha dengan artileri, kereta kebal dan pelancar roket sepanjang masa.
Susulan itu, Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menyeru masyarakat antarabangsa menjalankan siasatan saksama terhadap provokasi di Bucha.