PONTIANAK: Orang ramai diingatkan supaya tidak mendekati kepingan besi roket milik China yang ditemukan terhempas di ladang kepala sawit, Kampung Pengadang, Sekayam, Sanggau, Kalimantan Barat.
Ketua Polis Sanggau, Ade Kuncoro berkata, larangan itu dikeluarkan kerana kepingan logam berukuran dua meter tersebut berkemungkinan mengandungi bahan radioaktif.
Jelasnya, pihaknya bekerjasama dengan Unit Briged Bergerak Polis Kalimantan Barat bagi menangani masalah itu.
Malah, katanya, pihaknya juga meletakkan pita polis di kawasan penemuan objek tersebut.
“Kita juga turut menjalankan siasatan dengan menyoal siasat saksi yang menemukan objek terbabit,” katanya lapor Kompas.com.
Menurut Ade, hasil maklumat daripada beberapa penduduk, mereka terdengar bunyi bising di langit sekitar pukul 11.09 malam (waktu tempatan), Sabtu lalu.
Katanya, pemilik tanah memaklumkan serpihan logam itu ditemukan sekitar pukul 5 petang, Ahad lalu.
“Sehingga sekarang, kita belum mengetahui asal-usul objek tersebut,” katanya.
Ahad lalu, dunia digemparkan dengan serpihan roket Long March 5B milik China yang dikesan melintasi ruang udara Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Serpihan roket berkenaan terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan sisa serpihan yang terbakar berkenaan direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1° Utara dan longitud 119.0° Timur.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, serpihan itu adalah sebahagian daripada roket milik China yang dilancarkan Ahad lalu dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di Wenchang, selatan China.