Pemandu tuk-tuk Sri Lanka kaut untung jual petrol dalam pasaran gelap

Pemandu tuk-tuk Sri Lanka kaut untung jual petrol dalam pasaran gelap

PENDUDUK Sri Lanka semakin terdesak mendapatkan bekalan bahan api sehingga sanggup membuat pembelian secara haram. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Seorang penduduk dikenali sebagai Akshant kelihatan sama seperti pemandu tuk tuk lain di Sri Lanka namun gajinya adalah tiga kali lebih tinggi berbanding golongan itu.

Ini kerana, lelaki berusia 59 tahun itu menjual petrol di pasaran gelap di tengah-tengah krisis bahan api yang melanda Sri Lanka.

“Ia lebih menguntungkan berbanding memandu tuk tuk. Jika saya beli lima liter petrol, maka saya akan isi tiga liter dan selebihnya dijual kepada orang lain,” kata Akshant sambil berdiri di belakang kenderaan roda tiga miliknya.

Akshant mendakwa dia mengaut keuntungan dengan menjual petrol secara haram sejak beberapa bulan lalu.

Harga seliter petrol di stesen minyak adalah sekitar 450 rupee (RM5.52)

Namun, Akshant yang menyimpan muatan petrol di rumahnya untuk perdagangan ‘underground‘ menjual pada harga 2,500 hingga 3,000 rupee (RM30.69 hingga RM36.82) seliter.

“Pelanggan saya adalah penunggang motosikal dan pemandu tuk tuk.

“Pemilik kenderaan lain tak beli kerana memerlukan kira-kira 50 hingga 60 liter. Saya tidak mampu membekalkan sebanyak itu,” katanya.

Menurut Akshant, penduduk terpaksa menunggu tiga hingga empat hari untuk mendapatkan bahan api.

Malah, katanya, mereka hanya memperoleh petrol bernilai 2,500 rupee (RM30.69) setiap kali tiba di stesen minyak.

“Ia tidak mencukupi. Jadi, segelintir penduduk akan mengeluarkan petrol daripada kenderaan mereka dan menjualnya pada harga lebih tinggi. Saya juga terpaksa melakukan perkara yang sama,” katanya.

Jutaan rakyat Sri Lanka bergelut di tengah-tengah krisis kewangan paling buruk sejak tujuh dekad lalu.

Colombo juga bergelut mencari dana bagi membiayai import paling penting seperti bahan api, makanan dan ubat-ubatan.

Sementara itu, Menteri Kuasa dan Tenaga Sri Lanka, Kanchana Wijesekera berkata, import bekalan bahan api akan dihadkan bagi tempoh 12 bulan akan datang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN