BANGKOK: Penduduk Thailand bakal berdepan hukuman penjara dan didenda sekiranya memandu kenderaan sehingga memercikkan air atas jalan ke arah pejalan kaki.
Lapor thethaiger.com, Jabatan Perhubungan Awam kerajaan Thailand menerusi hantaran di Facebook memaklumkan hukuman mungkin dihadapi pemandu negara itu jika pejalan kaki disimbah dengan air lopak yang kotor di jalan raya.
Menurut hantaran itu, tindakan menyimbah pejalan kaki dengan air lopak melanggar Seksyen 43 Akta Lalu Lintas Jalan Raya iaitu memandu tanpa menyedari keselamatan atau menyebabkan masalah kepada orang lain.
Pemandu yang melanggar undang-undang boleh dikenakan denda 2,000 hingga 10,000 baht (RM248 hingga RM1,242), penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, jika percikan air menyebabkan kerosakan terhadap aset pejalan kaki, maka pemandu dianggap melanggar Seksyen 358 undang-undang Jenayah.
“Mana-mana individu merosakkan, memusnahkan atau menyebabkan susut nilai ke atas harta awam atau orang lain boleh dipenjarakan sehingga lima tahun, didenda sehingga 10,000 baht (RM1,242) atau kedua-dua sekali,” jelas laporan itu.
Tambah laporan itu, mangsa atau pemilik aset yang rosak boleh menuntut pampasan mengikut Seksyen 438 Undang-Undang Sivil dan Komersial.
Jumlah pampasan bergantung pada pelarasan mahkamah.
Jelas laporan itu, mangsa boleh membuat aduan di balai polis dengan menyertakan gambar atau video kereta serta nombor pendaftarannya.
Sementara itu, peraturan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pemandu kenderaan termasuk menggesa kerajaan membaiki jalan raya yang menyebabkan keadaan seperti itu berlaku.
Malah, ramai penduduk turut menegaskan jalan raya negara itu perlu dibina agar air hujan mengalir ke dalam longkang dan bukannya terkumpul dalam lopak.